Meninjau di bumi Indonesia timur, Makassar.
Makassar merupakan kota terbesar di kawasan Indonesia Timur dan pada masa lalu pernah menjadi ibukota Negara Indonesia Timur dan Provinsi Sulawesi. Pada sekitar tahun 1971 sehingga 1999, ia ditukarkan dengan nama Ujung Pandang dan kini masih kembali menggunakan nama Kota Makassar.
Penduduk Makassar kebanyakan dari Suku Makassar dan Suku Bugis, sisanya berasal dari Toraja, Mandar, Buton, Tionghoa, Jawa dan sebagainya. Anggaran dalam 86 peratus penduduk di Kota Makassar ini adalah menganut agama Islam.
Pernah mencuba Coto Makassar?
Coto Makassar adalah jenis makanan yang sangat popular dan mudah ditemui di Makassar. Makanan ini dibuat dari perut dan daging lembu yang direbus dalam waktu yang lama. Rebusan ini kemudian dihiris-hiris lalu dibumbui dengan bumbu yang diracik secara khusus.
Coto dihidangkan dalam mangkuk dan dimakan dengan ketupat dan “burasa”.
Coto Makassar sememangnya terkenal sehinggakan ada pelbagai jenis dan lokasi Coto seperti Coto Daeng Sirua (Asuhan H. Singara), Coto Maros Asuhan H. Mustafa Dg. Siga. Minuman pula cukup hanya air kosong ataupun esjeruk (limau ais). Kami singgah makan di Jl. Gagak yang berdekatan dengan Hotel Red Planet yang dahulunya adalah Tune Hotel.
Jika mencari masakan Padang pula, ada beberapa restoren yang berdekatan seperti Restoran Sederhana yang menampilkan pelbagai jenis hidangan lauk-pauk yang sedap. Sebagaimana yang kita ketahui, memang banyak menu yang boleh dipilih seperti rendang, ayam cabe ijo, kalio cumi, daging asam padeh, perkedel daging, dan pelbagai lagi menu yang menarik.
Tidak sah jika ke Kota Makassar tanpa membelikan ole-ole atau cenderamata. Anda boleh ke Pusat Grosir Butung yang memiliki 5 tingkat iaitu basement, lantai 1, lantai 2, lantai 3, dan 3A. Di sini terdapat pelbagai jenis barangan yang dijual seperti pakaian, beg, telefon, kain batik, makanan dan macam-macam lagi.
Boleh juga singgah ke Toko yang banyak di tepi-tepi jalan dan antara yang popular adalah Toko Unggul. Beberapa kali pak supir mencadangkan Toko Unggul ini mungkin kerana pelbagai jenis ole-ole, kain dan juga jus markisa yang boleh dibeli di sini.
Membeli belah di bandar Makassar sememangnya memerlukan pengiraan yang teliti dari segi jenis kain yang dibeli. Contohnya kain pelikat dan baju batik tidak sama dengan kebanyakan jenis di Malaysia. Saiz penduduk di sini dilihat lebih kecil dan harus mencuba dahulu sebelum membeli. Corak-corak kain pelikat juga perlu diperhati kerana ada yang bercorakkan binatang berbanding di Malaysia bercorakkan flora.
Rumah Makan Mas Daeng yang terletak di Jl. Arif Rate, Kota Makassar ini pula boleh disinggah pada waktu malam. Masih ramai juga yang tahu popularnya Rumah Makan (RM) Mas Daeng ini. Ayam bakar, ikan bakar, sayur kangkung dan menu-menu lain juga sedap dan harganya murah.
Nikmati air Teh Botol yang bagi penulis adalah satu minuman yang popular di Indonesia ini. Ada juga jenama Teh Kotak. Begitulah pengalaman bersahur di Kota Makassar ketika itu dalam jam 3 pagi.
Selain itu, Mi Titi Makassar juga antara yang digemari dan pisang ijo serta pisang goreng cheese enak dimakan secara santai di waktu petang atau malam.
Begitulah serba sedikit dunia kuliner atau makanan di Kota Makassar ini. Perjalanan 3 jam 5 minit hanya dengan Air Asia ke Makassar ini membuatkan penulis ingin lagi ke sana. Mungkin selepas ini ada masa lagi ke Pantai Losari dan beberapa lagi tempat menarik. Makanan lautnya segar dan harganya murah.
Ayo ke Makassar!