fizi minta maaf

Mengotakan janji, karakter Fizi daripada siri animasi popular, Upin & Ipin memohon maaf atas kontroversi dialog dalam episod berjudul Syahdunya Syawal yang disiarkan pada Hari Raya pertama di saluran MNCTV, Indonesia.

Video permohonan maaf Fizi disiarkan penerbit, Les’ Copaque Production Sdn Bhd di saluran Youtube rasmi Les’ Copaque Production Channel, pada jam 4 petang tadi.

Melalui video berdurasi empat minit itu, Fizi memberitahu mengakui menyesal dengan keterlanjuran katanya kepada Upin dan Ipin.Turut disiarkan ialah sebahagian babak yang kontroversi itu hinggalah sambutan Aidilfitri diraikan.

Fizi minta maaf

“Saya, Fizi… Berdirinya di sini untuk memohon maaf pada Upin dan Ipin. Fizi tak sengaja tersalah cakap hari itu.

“Lepas cubit dengan Mail, Fizi dah insaf. Jadi, janganlah marah Fizi lagi. Fizi sedih,” ungkap Fizi menerusi video berkenaan. Upin dan Ipin turut memaafkan kekhilafan Fizi kerana mereka sahabat selamanya.

Pengarah siri drama Les’ Copaque Production, Khairul Aimran Ibrahim berkata, pembikinan video permohonan maaf itu mengambil masa dua hari.

“Kami turut siar video permohonan maaf itu di semua platfrom rasmi di Facebook, Instagram (IG) dan Twitter dalam versi yang pendek,” katanya kepada BH Online.

Ahad lalu, dialog dilafazkan Fizi dalam episod berkenaan yang menyentuh persoalan di mana syurga untuk anak yatim, mencetuskan bualan hangat peminat di Indonesia dan Malaysia. Sepantas kilat, komen ‘Fizi is cancelled’ menjadi tular di laman sosial terutama Twitter.

Khairul Aimran atau Kim berkata, sesuai dengan bulan Syawal yang menganjurkan umat Islam bermaaf-maafan, pihaknya berharap kesilapan Fizi dapat diampunkan.

Peminat siri Upin & Ipin tahu karakter Fizi adalah ceria dan suka mengenakan kawan-kawan.

Seperti Fizi selalu menyakat Ehsan dengan gelaran ‘intan payung’. Ia sekadar panggilan manja Ehsan dan sering dijadikan modal untuk mengusik.

Itu belum lagi melihat gelagat Fizi berpuasa separuh hari dan mengaku di depan cikgu dengan selamba.

Kim berkata, kontroversi timbul apabila dalam episod Syahdunya Syawal, Fizi menyebut ‘tiada ibu, tiada syurga buat Upin dan Ipin‘ hingga mengundang perbalahan netizen.

“Peminat tahu Upin dan Ipin adalah anak yatim. Pastinya kata-kata Fizi itu membuatkan hati mereka terguris.

“Namun, Fizi tidak berniat melukakan hati mereka,” katanya. Siri Upin & Ipin dilaporkan sudah memasuki musim ke-14 di Indonesia.
Sumber : Berita Harian

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge