Pusat beli-belah dan kawasan pelancongan sudah boleh dikunjungi dengan individu yang lengkap dua dos vaksin, namun pemakaian pelitup muka masih lagi diwajibkan jika berada di tempat awam. Mereka yang enggan memakai pelitup muka boleh dikenakan kompaun sehingga ribuan ringgit dan ia adalah satu kesalahan andai sengaja dilakukan.

Arahan tersebut telah dinyatakan oleh Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak diawal pandemik lagi dan ia harus dipatuhi oleh seluruh penduduk di Malaysia ataupun warga asing yang berada di negara ini.

Seorang wanita warga asing, telah didakwa cuba memasuki kedai fesyen mewah Dior di pusat beli-belah Suria KLCC tanpa memakai pelitup muka dan ditolak oleh kakitangan kedai itu kerana berbuat demikian.

Satu video keterlaluan wanita itu dirakam oleh seorang lagi pembeli yang nampaknya ditahan dalam barisan di luar kedai ketika kakitangan cuba menyelesaikan keadaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta orang ramai khususnya pelancong asing untuk mengenakan pelitup muka ketika berada di mana-mana lokasi awam di Malaysia.

Menerusi hantaran terbaru di laman Twitter rasmi beliau, Khairy Jamaluddin meminta setiap individu untuk sentiasa mengenakan pelitup muka tanpa mengira perbezaan arahan di tempat lain.

“Bila berada di Rome, ikut cara Roman, bila di Malaysia, tolong pakai pelitup muka tanpa mengira peraturan di tempat lain,” ciapnya tadi.

Ciapan terbaru itu dibuat Khairy Jamaluddin sebagai memberi maklum balas kepada tindakan seorang pelancong asing yang dilihat gagal mengenakan pelitup muka ketika memasuki salah sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota.

Tindakan wanita itu turut mengundang rasa marah dalam kalangan pengguna laman media sosial selepas dia dilihat cuba mencabar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan.

Selain meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap wanita itu, orang ramai juga ingin tahu bagaimana dia berjaya masuk dan berjalan di sekitar pusat membeli-belah tanpa memakai topeng.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge