Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad mengambil maklum terhadap isu tular mengenai pengurusan sebuah masjid memandikan seorang remaja yang mencuri di masjid baru-baru ini.

Katanya, ingin ditegaskan bahawa perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun adalah merupakan suatu perbuatan yang dilarang dalam Islam.

“Pesalah wajar dihakimi dengan seadil-adilnya,” ujarnya dalam kenyataan media, malam tadi.

Perbuatan orang ramai termasuk pengurusan masjid yang mengambil sebarang bentuk hukuman sendiri terhadap orang yang disyaki adalah amat tidak wajar.

Perkara seumpama itu sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Saya juga ingin menasihatkan orang ramai termasuk pihak pengurusan masjid agar tidak terjebak dengan sentimen tertentu atau cuba mengambil tindakan sendirian sehingga boleh menyebabkan kezaliman kepada orang yang disyaki,” ujar beliau.

Perbuatan merakam gambar orang yang disyaki bagi tujuan sebaran awam juga adalah merupakan suatu perkara yang amat tidak wajar.

Masyarakat adalah diseru supaya sentiasa cakna terhadap anggota kejiranan dan sama-sama mengambil peranan dalam mencegah masalah sosial yang bertaku di sekeliling mengikut peranan masing-masing tanpa melampaui had.

Semoga perkara ini menjadi pengajaran dan iktibar kepada kita semua dalam menyantuni masyarakat di sekeliling kita.

Untuk rekod, Sinar Harian pada Khamis melaporkan Daniel Iskandar, 19, dikenakan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kerana cuba mencuri tabung masjid lima hari lalu.

Dia yang juga seorang penganggur mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyembunyikannya dalam bilik mandi jenazah.

Perbuatan itu dilakukan di masjid berkenaan di Kilometer (KM) 28 Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, 8 Januari lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge