Pada saat dan ketika ini, ramai orang sedang membicarakan perihal kepemimpinan sama ada di peringkat atasan mahupun masyarakat awam di segenap lapisan. Sejauh manakah isu kepemimpinan memberi makna begitu penting dalam kehidupan manusia sehingga sentiasa menjadi polemik sepanjang zaman?
Daripada sudut pandangan Islam, kepemimpinan adalah suatu keperluan bagi mencapai maksud dan matlamat untuk memastikan kesinambungan risalah Islam yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW dan sekalian rasul demi keselamatan serta kesejahteraan umat manusia.
Sesungguhnya amanah kepemimpinan bukanlah warisan dari keluarga terdahulu dan juga bukan sekadar janji-janji manis atau memberi habuan dan hadiah. Untuk menjadi pemimpin yang berwibawa seseorang itu perlu menerapkan dalam dirinya kecintaan terhadap agama dan umat seluruh serta kesanggupan untuk berkorban apa sahaja demi rakyat dan itu bukanlah sesuatu yang mudah.
Tugas dan Peranan Pemimpin Bukanlah Mudah
Rasulullah S.A.W bersabda “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekalian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang Imam (ketua) adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya.
“Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Isteri adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya dan dia akan ditanya mengenai tanggungjawab kepimpinannya.
“Seorang pembantu adalah pemimpin harta majikan dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang anak adalah pemimpin harta bapanya dan dia bertanggungjawab mengenai kepimpinannya.
“Maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Secara umumnya tugas dan peranan pemimpin bukanlah mudah. Untuk menjadi pemimpin yang berwibawa, ia memerlukan tahap kemahiran yang tinggi dan mungkin tidak sama dengan orang lain. Dalam Islam, seseorang pemimpin perlu mempunyai kemahiran untuk mengurus hal ehwal dunia dengan penuh kebijakan agar rakyat dapat merasai faedah yang terbaik.
Perlu ditekankan bahawa pemimpin perlu sentiasa memikirkan hal ehwal dan kebajikan orang yang dipimpin atau rakyat di akar umbi kerana kebijakan atau kepimpinan yang dilakukan sebenarnya membawa kepentingan umum atau kemaslahatan sekali gus untuk menghindarkan kemudaratan atau disebut sebagai dar-u al mafaasid.
Kita adalah pemimpin ke atas diri sendiri dalam melaksanakan hukum Allah ke atas diri kita.
Allah menguji setiap kita dengan tanggungjawab samada sebagai pemimpin diri sendiri, suami, isteri, wakil rakyat, imam atau pekerja dan kita akan ditanya tentang kepimpinan kita di akhirat nanti. Wallahualam.
Sumber: BAKA JIPS PDRM, HMetro
Benar.. semua orang pasti di uji, cuma kedudukannya aje yang berbeza kan Kid..