tawaf di masjidil haram kaabah
5.1K+Shares

Bulan November 2020 menjadi bulan penuh bersejarah buat semua muslim seluruh dunia apabila kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah umrah kepada jemaah antarabangsa dalam kuantiti terhad.

Kebenaran ini merupakan satu berita gembira kepada bakal jemaah kerana pintu Mekah telah ditutup semenjak berlakukan pandemik Covid 19 pada Mac 2020 lalu.

Syukur ke hadrat Allah, akhirnya kegelisahan dan kerinduan terungkai dengan kebenaran ini. Berikutan itu pihak berkuasa Arab Saudi telah menetapkan prosedur baharu sepanjang ibadat umrah dilakukan dan ia mesti dipatuhi oleh jemaah.

Masih ramai yang tertanya-tanya, bagaimankah sebenarnya tawaf dilakukan dalam musim Covid-19 ini? Nampak sistematik. Nampak tersusun. Nampak tenang. Alhamdulillah

Ini yang boleh Admin kongsikan.

PELEKAT UNTUK TREK TAWAF

Kalau anda perasan pada gambar-gambar ini, ada banyak pelekat yang diletak pada bulatan-bulatan Mataf(kawasan tawaf). Pelekat inilah sebenarnya yang memainkan peranan penting agar memastikan para jemaah umrah sentiasa berada dalam trek tawaf yang lurus. Jarak di antara satu bulatan dengan yang lain dalam lebih kurang satu depa.

PELEKAT PANJANG DAN PELEKAT PETAK KECIL (segi perempat tepat).

Pelekat panjang adalah trek untuk berjalan.- Pelekat petak-petak kecil menyerong ke kiri menandakan spot untuk ‘corner’ ke bulatan seterusnya yang lebih kecil dan lebih dekat dengan & Ka’bah.

PARA PEGAWAI PENJAGA TAWAF

Kalau dulu kita boleh tawaf sesuka hati, tawaf norma baru ni boleh dikatakan setiap bulatan ada penjaganya iaitu para pegawai, demi memastikan tawaf dilakukan dalam penjarakan fizikal lebih kurang 1.5 hingga 2 meter, dan supaya para jemaah sentiasa berada dalam trek yang betul. Pantang mereka ni nampak orang terkeluar trek atau rapat-rapat ketika tawaf, pasti akan dilaungkan: “تَبَاعُدْ!!!!” Tabaa’ud!!! (Jarak!!!)

MULA DENGAN BULATAN PALING BESAR, SELESAI DENGAN BULATAN PALING KECIL

Dalam keadaan ramai para jemaah umrah yang sedang bertawaf, para pegawai akan memastikan mereka memulakan tawaf dengan bulatan ketujuh yang ditulis pada pelekat itu dengan “المَسَارُ السَّابِع”Al-Masaar as-Saabi’ (trek yang ke-7).

Kemudian apabila sampai di rukun Syaami(sebelum rukun Yamani), anda akan lihat pelekat petak kecil menyerong ke kiri, di situ pegawai akan memastikan anda ‘corner’ ke bulatan yang ke-6, dan begitulah seterusnya sehingga anda telah sampai pada pusingan tawaf yang ke-7 dan terakhir, anda akan berada pada bulatan yang paling kecil dan paling dekat dengan Ka’bah yang ditulis pada pelekatnya “المَسَارُ الأَوَّل” Al-Masaar al-Awwal (trek pertama).

Ni kalau jemaah umrah tengah ramai, kalau dah saki baki yang tawaf tu, pegawai tak kesah pun kalau kita nak tawaf kesemua pusingan pada bulatan yang paling dekat dengan Ka’bah.

PELEKAT PETAK-PETAK KECIL UNTUK KELUAR TAWAF

Yang terakhir sekali, apabila anda telah sampai pada pusingan terakhir di buatan yang paling kecil itu, pegawai tahulah ini pusingan terakhir anda dan mereka akan memastikan anda keluar dari tempat tawaf di bahagian sebelum Maqam Ibrahim, yang mana diletakkan pelekat petak-petak menyerong ke kanan memanjang sampai ke arah tempat anda solat sunat lepas tawaf di situ.

Ini agar memastikan tidak berlaku “accident” bila anda nak keluar dari trek tawaf tersebut. Ma Sya Allah! Unik kan? Admin pun teruja melihat sistem yang mereka terapkan pada musim Covid-19 ini. Ada yang pernah bersuara: “Inilah antara hikmah Covid, kalau tak kerana Covid, takdelah mereka pandai buat sistem seperti ini”.

Baca juga : Cara Mendapatkan Permit dan Solat di Masjidil haram dan Rawdah

Antara kelebihan tawaf norma baru mengikut bulatan-bulatan yang ditetapkan ni, kita tidak akan tersalah kira pusingan tawaf, betul tak?

Kalau tak, rasanya ramai je di antara kita yang pernah ‘lost count’ semasa tawaf: “Eh, dah pusingan 6 ke 7 eh?”

Banyak betul kes was-was dalam ibadah ni. Alangkah indahnya kalau perlaksanaan sistematik ini dapat diterapkan juga pada masa akan datang untuk mengucup Hajar Aswad, Multazam dan juga al-Hijr (Hijir Ismail). In Sya Allah… kita tunggu dan lihat.

dari Makkah.
Penulis Makkah Kenangan Terindah,
Isnin, 12 Oktober 2020M / 25 Safar 1442

5.1K+Shares

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge