Umrah di Mekah

Masih lagi ramai yang terkeliru dengan puasa Arafah di Malaysia apabila tarikh 10 Zulhijjah berbeza dengan Arab Saudi. Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Laman Rasmi Haramain Info yang dikeluarkan oleh kerajaan Saudi, 1 Zulhijjah telah jatuh pada 7 Jun 2024 bersamaan dengan hari Jumaat, manakala di Malaysia 1 Zulhijjah jatuh selepasnya iaitu 8 Jun 2024 bersamaan hari Sabtu.

Begitu juga penetapan hari raya Aidiladha bagi Saudi jatuh pada 16 Jun 2024 (Ahad) iaitu 10 Zulhijjah, manakala di Malaysia hari raya Aidiladha jatuh pada 17 Jun 2024 (Isnin) iaitu 10 Zulhijjah.

Ini memberi makna bahawa hari Arafah jatuh pada hari Ahad (16 Jun 2024/ 9 Zulhijjah) di Malaysia dan Sabtu (15 Jun 2024 /9 Zulhijjah) di Saudi. Jadi mana perlu kita ambil? Adakah dengan mengikut Arafah di Saudi atau negara sendiri?

Dataran Kaabah

Penetapan Hari Bulan Hijrah

Seringkali terjadi polemik penentuan hari wukuf di Arafah, kebiasaannya jika penetapan hari tersebut berbeza di antara Malaysia dan Arab Saudi. Persoalannya adakah penentuan hari tersebut perlandaskan penglihatan anak bulan atau mengikut hari wukuf di Arafah.

Dalam hal ini, melihat kepada kaedah penentuan bilangan bulan dalam kalendar hijrah berlandaskan dengan cerapan melihat anak bulan atau dengan mencukupkan hitungan 30 hari jika anak bulan tidak kelihatan.

Firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang anak-anak bulan. Katakanlah itu adalah penunjuk waktu bagi manusia (waktu-waktu berpuasa, berbuka, iddah seseorang wanita) dan waktu ibadah haji. “(Surah Al-Baqarah:189)

Disebutkan dalam kitab Mughni al-Muhtaj, penetapan hari dalam bulan hijrah atau hari arafah secara khususnya ditentukan oleh sesuatu tempat berdasarkan kemampuan melihat anak bulan.

Ini kerana matla’ atau kawasan terbitnya matahari dan bulan berbeza bagi sesuatu negara dan tempat, bahkan bagi setiap tempat itu mempunyai matla’ tersendiri.

Menurut Imam Khatib al-Syirbini, sekiranya sesuatu negara melihat anak bulan maka kawasan yang berhampiran dengannya boleh mengambil pendekatan hukum yang sama (iaitu dalam penentuan hari dan tarikh kelendar hijrah). Manakala bagi negeri yang berjauhan seperti Iraq dan Hijaz maka ia tidak dibolehkan, hal ini kerana matla’ bagi tempat tersebut adalah berbeza.

Baca juga : 32 Doa Arafah : Keistimewaan dan Amalan

Puasa arafah di Malaysia
Puasa Arafah di Malaysia : Ikut Hari Wukuf atau Tarikh Setempat?

Kesimpulan Puasa Arafah di Malaysia

1. Dalam hal ini, hasil cerapan dan pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawasanya tarikh umat Islam di Malaysia menyambut 1 Zulhijjah jatuh pada 8 Jun 2024. Maka, ini bermakna Hari Puasa Arafah di Malaysia jatuh pada 9 Zulhijjah / 16 Jun 2024 bersamaan hari Ahad.

2. Namun sebagai umat Islam kita pasti ingin menghidupkan hari Arafah dengan Amal Ibadah bersama dengan para tetamu Allah yang sedang berwukuf. Ramai yang mengambil berat tentang puasa Arafah di Malaysia dalam hal ini.

Nabi SAW bersabda: أَﻥّ اﻟﻨَّﺒِﻲ ﺻَﻠّﻰ اﻟﻠﻪُ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻛَﺎﻥَ ﻻ ﻳَﺪَﻉٌ ﺻِﻴَﺎﻡَ ﺗﺴﻊِ ﺫِﻱ اﻟﺤِﺠّﺔِ

Maksudnya :”Bahawa Nabi SAW tidak meninggalkan puasa 9 Zulhijjah.” (HR Abu Daud)

3. Untuk itu, kita sangat disarankan untuk memperbanyakkan amal ibadah pada 1 Zulhijjah sehingga 10 Zulhijjah, maka tidak ada waktu yang kita terlepas untuk beramal soleh. Bahkan kita juga boleh MEMPERBANYAKKAN BERDOA pada hari Arafah mengikut ketetapan Makkah untuk mengambil fadhilat waktu Arafah.

4. Jika kita yang di Malaysia masih keliru sama ada ingin berniat puasa hari Arafah pada (9 Zulhijjah/ 16 Jun 2024) – mengikut ketetapan Malaysia, boleh sahaja berniat puasa pada (8 Zulhijjah/ 15 Jun 2024) maka ia terus dikira sebagai Puasa Hari Tarwiyah.

5. Jangan lepaskan peluang untuk berpuasa hari Arafah iaitu pada (9 Zulhijjah /16 Jun 2024) dan memperbanyakkan Amal Soleh seperti berzikir, berdoa, membaca al-Quran, bersedekah dll kerana fadhilatnya akan diampunkan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang.

Wallahu’alam

Rujukan

1. Portal Mufti Wilayah #61: Polemik Masyarakat Terhadap Penentuan Hari Wukuf Di Arafah.
2. Portal Mufti Wilayah #115: Kelebihan-Kelebihan Hari Arafah.
3. Maktabah Al Bakri #1841: Hari Arafah Mengikut Hari Wukuf Atau Tarikh Setempat.
4. Ustazah Asma’ Harun

Subscribe
Notify of
guest

CommentLuv badge

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments