Rumah

Gara-gara berebutkan harta peninggalan si mati, adik beradik boleh berkelahi hingga putus hubungan silaturahim. Malah lebih dasyat sampaikan berbunuh semata-mata untuk rebut harta pusaka. Paling sedih, mayat di rumah belum pun dikebumikan lagi, namun harta yang direbut menjadi keutamaan. Itulah hebatnya penangan harta.

Yang beriman pun boleh tergugat imannya, apatah lagi yang hanya Islam pada nama. Mungkin agak kasar bunyinya, namun itulah realiti kehidupan masyarakat hari ini.

Setiap yang berlaku ada hikmah yang boleh diambil pengajaran darinya. Di samping mendedahkan ‘belang’ sebenar sikap seseorang, bahkan lebih dari itu turut memperingatkan kita agar lebih bersedia membuat persiapan sebelum tibanya mati.

rasuah duit

Antaranya yang dituntut dalam Islam adalah mewasiatkan harta yang ada, atau paling tidak menghibahkan harta tersebut kepada anak-anak yang ditinggalkan.

Bukankah itu jalan yang terbaik dan kerana itulah Islam menganjurkan penulisan wasiat agar kehidupan manusia lebih harmoni.

Sememangnya pengurusan harta yang baik dapat menyumbang keamanan hidup buat waris yang tinggal sekali gus menjamin ketenteraman hidup buat yang telah mati.

Kepentingan meninggalkan wasiat turut diperjelaskan oleh Rasulullah s.a.w.

“Sesiapa yang mati meninggalkan wasiat maka dia mati atas jalan Islam, mati dalam keadaan mengikut sunnah, mati dalam ketakwaan, mati dalam syahadah, dan matinya diampuni.” – HR Ibnu Majah

Orang yang tidak beriman dan tidak memahami perkara ini akan berusaha mencari jalan untuk memperoleh harta tersebut sebanyak mungkin.

Namun, bagi orang yang beriman dan memahami hukum, mereka akan memastikan terlebih dahulu adakah dirinya tergolong di dalam golongan yang memiliki hak sebelum menghampiri harta tersebut.

Perlu diingat, sebelum sebarang harta dibahagi-bahagikan mengikut kaedah faraid, waris perlu memastikan setiap hak-hak si mati telah pun diselesaikan terlebih dahulu.

Antaranya kos pengurusan jenazah serta hutang piutang si mati sama ada berhutang dengan Allah mahupun manusia.

Rebut Harta Pusaka

Bagi orang yang beriman, mereka tentunya memahami bahawa segala sesuatu itu milik Allah. Maka janganlah pula mengambil sesuatu yang tidak diizinkan serta diharamkan oleh Allah.

Justeru, setiap individu perlu jelas dan maklum perihal ilmu berkaitan faraid. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkan kepada manusia, kerana ia adalah separuh dari ilmu dan akan dilupakan. Ia juga adalah ilmu pertama yang akan dicabut dari umatku.”HR Ibnu Majah

Sekiranya tidak arif bab faraid, maka ikutlah kaedah yang paling mudah. Surah An-Nisa’: 11 dan 12 cukup jelas menerangkan mengenai pembahagian harta ini.

Manakala bagi si mati pula, ketika hidupnya perlu maklum tentang hak-hak yang perlu diberikan kepada waris-waris yang akan ditinggalkan. Jangan sampai rebut harta pusaka, hak waris yang sepatutnya diberikan tetapi dinafikan pula.

Sebarang wasiat yang menafikan hak seorang waris yang berhak untuk mendapat faraid nyata terbatal secara automatik. Tiada guna mereka membuat wasiat kerana jika di akhirnya akan membawa pergaduhan keluarga.

Wasi (orang yang dilantik untuk menunaikan wasiat) juga perlu menegur dan memastikan pembahagiannya tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Rebut Harta Pusaka
Gambar Hiasan : Harta Pusaka Terbiar

Bahkan tidak pula mengubah wasiat yang dibuat bagi memastikan perjalanan pembahagian harta berjalan lancar sebagaimana firman Allah surah Al-Baqarah ayat 181 dan 182.

“Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan agama), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barang siapa yang mati dengan berwasiat, maka dia mati fisabilillah (di jalan Allah).”

Hadis ini bermaksud, apabila si mati sudah menjelaskan hak dan bahagian setiap waris dengan jelas sebelum dia meninggal, dan apabila dia meninggal, warisnya mengikut apa yang telah dijelaskan dengan sepakat, maka kedua-dua pihak akan hidup aman dan sentosa.

Namun berbeza keadaannya jika si mati tidak menguruskan harta mereka dengan keterangan serta wasiat yang jelas sehingga menyebabkan waris yang ditinggalkan bergaduh.

Kesannya, bukan sahaja yang hidup (waris) akan menanggung dosa, malah roh yang terpisah dari jasad juga turut merana.

Kubur Orang Islam

Jika sewaktu hidup dia telah membuat arahan dan membahagikan hartanya kepada waris dengan jelas dan waris sepakat, tetapi berlaku juga pergaduhan selepas berlaku kematiannya, maka yang hidup berdosa dan yang mati sudah selesai dan tidak perlu dipersoalkan.

Keadaan sama turut berlaku sekiranya dia telah mengamanahkan hartanya dengan jelas untuk ditadbir oleh wasi bagi kebaikan waris-warisnya, namun si pentadbir melakukan khianat atau gagal untuk mentadbirnya dengan jujur, amanah dan selamat, maka si pentadbir akan berdosa dan merana.

Manakala si mati tidak akan dipertanggungjawabkan tentang rebut harta pusaka tersebut.

Walau bagaimanapun di dalam isu pusaka, tidak ada pula mana-mana nas mahu pun dalil yang membincangkan secara khusus azab yang diterima oleh si mati, tidak sepertimana ibadah yang lain seperti solat mahupun zakat dan sebagainya.

Tetapi sebagai gambaran untuk melihat bagaimana azab yang bakal diterima terhadap si mati, lihat pada kehidupan warisnya yang hidup. Sekiranya keluarga itu berantakan, berpecah belah dan bergaduh, selagi itu yang di dalam kubur tidak akan aman dan tenteram.

Walau apa pun berkaitan harta pusaka yang ditinggalkan ini sebenarnya ia merupakan ujian paling besar kepada yang hidup sama ada mereka tetap kekal dengan keimanan kepada Allah atau sebaliknya.

Ingatlah Allah berfirman dalam surah Al Anbiya: 35

“Setiap jiwa akan merasakan mati. Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu akan dikembalikan.”

Penulisan ini ditulis oleh Azrin Wahid dari UtusanTV.

Jadi, untuk memahami tentang ilmu harta pusaka, wasiat dan hibah juga harta sepencarian, anda boleh belajar dengan Ustaz Ghazali Ibrahim dengan dapatkan Ebook dari Ustaz Ghazali Ibrahim.

3 Comments

  1. Isu yang tak pernah berkesudahan. Hingga sanggup berbunuhan. Semoga dijauhkan dari kita sifat suka merampas yang bukan hak kita.

  2. risau juga kalau perkara ni berlaku. adik beradik pun boleh bergadu sebab tanah dan harta pusaka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge