Ketika kita sibuk memberi fokus kepada Pilihan Raya Umum Ke-15, Thailand sedang menari apabila Ringgit Malaysia (RM) mengalir masuk ke negara itu bagai arus sungai yang dilanda kepala air.

Rakyat bagaikan dirasuk apabila berbondong-bondong berkunjung ke sana sehingga dilaporkan 26.6 bilion Baht dibelanjakan rakyat Malaysia dari Januari hingga 7 Oktober lalu.

Apa yang membuatkan Thailand semakin digemari oleh 1.8 juta rakyat Malaysia agaknya? Sedangkan keadaannya sama juga seperti kita yang bergelut untuk bangkit semula selepas dilanda C0VID-19.

Tidak lama lagi, jumlah itu pasti akan bertambah sekali ganda apabila tiba musim cuti sekolah, Krismas dan Tahun Baharu. Pelancong tidak lagi menjadikan Narathiwat sebagai destinasi pilihan lagi. Sebaliknya meneroka sampai ke utara seperti Krabi, Phatthalung, Phuket, Satun, Chiang Mai dan Chiang Rai.

Shopping Ringgit Malaysia Mengalir

Strategi Thailand Rancakkan Ekonomi

Jika diperhalusi, sebaik dunia berada di hujung serangan pandemik, kerajaan Thailand membuat keputusan luar biasa. Thailand menghalalkan ganja dan ketum yang diketahui sebagai bahan khayal paling popular dalam kalangan penagih dadah.

Ia mungkin ibarat orang mengantuk disorong bantal oleh sesetengah pihak. Sebelum ini, mereka terpaksa terbang ke barat terutama Amsterdam untuk menikmati asap berdengung secara terang-terangan.

Jika di Malaysia, mereka perlu mengambilnya secara sembunyi-sembunyi kerana takut diberkas polis seterusnya menghabiskan sisa hidup di sebalik tirai besi. Risikonya sangat besar.

Biarpun mendapat tentangan hebat penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan, Thailand enggan berganjak dengan keputusannya. Di sebalik kemarahan rakyat, mereka sebenarnya sedang membantu rakyat dalam diam.

Perbuatan yang tidak disedari itu kini dihadam perlahan-lahan oleh setiap warganya. Ini kerana mungkin baru tersedar bahawa keputusan menghalalkan ganja dan ketum sebenarnya formula pantas untuk merancakkan ekonomi.

Makan sedap Ringgit Malaysia Mengalir Thailand
sumber gambar : sislin76.com

Namun, di sebalik semua itu, bagi pihak lain pula Thailand menawan hati pelancong. Mereka dengan menawarkan pakej menarik selain penginapan selesa pada harga yang berbaloi di samping makanan yang sedap terutamanya tomyam.

Selain itu, pemain industri cakna dengan perkembangan pantas teknologi apabila menggunakan pelbagai aplikasi terkini. Kesemua ini memudahkan pelanggan membuat tempahan, pembatalan, diskaun dan pelbagai tawaran menarik sekiranya datang secara berkumpulan atau lone ranger.

Kejatuhan nilai mata wang Baht sepanjang tahun ini juga menjadi punca negara itu terus dikunjungi pelancong.

Berdasarkan situasi ini, dapat kita ketahui sebenarnya masih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai simpanan kukuh. Sebabnya boleh berbelanja begitu banyak ketika berada di luar negara. Ringgit Malaysia memang sedang mengalir laju ke Thailand bagai kepala air.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge