Sultan Ibrahim

Sultan Johor kesal kes Covid-19 kembali meningkat sehingga menimbulkan “rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi” dalam kalangan rakyat.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) ketat perlu dilaksanakan semula, ia harus “buat kali terakhir, tetapi berkesan”.

Setiap kali apabila kita merasakan bahawa keadaan mula pulih dari penularan COVID-19, namun sebaliknya jumlah kes yang dicatatkan kembali meningkat lagi. Umpama mula menimbulkan rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi.

Kita sekarang berada pada tahap yang sangat kritikal. Jumlah kes tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dan beberapa negeri, termasuk Johor, kini menjadi negeri berisiko tinggi. Rakyat tidak boleh mengabaikan SOP walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin terhadap virus tersebut.

Sultan Ibrahim

Ingatlah untuk menjaga diri dan satu sama lain, ini kerana sesetengah rakyat memandang ringan SOP dan bersikap seolah-olah wabak itu sudah berakhir. Sikap berbahaya ini hanya akan menambah lagi beban kemudahan penjagaan kesihatan kita.Walaupun sistem penjagaan kesihatan kita diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas.

Jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan. Saya harap agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan. Kita tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang.

Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat. Saya menggesa rakyat Johor agar segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. Percayalah kepada pakar kesihatan yang sahih, bukan khabar angin.

Sebagai Sultan Johor, saya amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamatan Bangsa Johor. Saya tidak mahu lagi mendengar kisah sedih keluarga yang kehilangan ahli mereka yang tersayang akibat wabak ini.

Sekiranya perintah kawalan pergerakan yang ketat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, biarlah ia dilaksanakan buat kali terakhir tetapi berkesan, dengan memastikan orang ramai juga memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuasakan.

Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya.

DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar
Sultan Johor
2 Mei 2021

Semalam, Malaysia mencatatkan 2,881 kes baharu Covid-19, dengan 15 kematian. Selangor mencatat jumlah jangkitan tertinggi iaitu 759 kes, manakala Johor merekodkan 310 kes.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge