Solat Jemaah di Perlis

KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR

D.Y.M.M. Sultan Selangor telah disembah taklimat oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dari semasa ke semasa berkaitan kedudukan dan data terkini wabak Covid-19 di Negeri Selangor.

Mengambil maklum perkembangan terbaharu wabak Covid-19 ini, D.Y.M.M Sultan Selangor telah berkenan agar semua Masjid dan Surau Kebenaran Jumaat dibuka untuk mendirikan Solat Jumaat.

Masjid Cyberjaya

Manakala semua Masjid dan Surau di Negeri Selangor dibuka semula untuk mendirikan Solat Fardhu lima waktu secara berjemaah dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti perenggan di bawah.

Kebenaran ini berkuatkuasa pada 3 Julai 2020.

Walau bagaimanapun, jumlah dan bilangan jemaah yang boleh mendirikan solat pada satu-satu masa ditetapkan seperti berikut :-

  1. Jumlah kehadiran jemaah bagi Solat Jumaat dan Solat Fardhu di Masjid-masjid berikut ditetapkan pada 1,000 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid.
    i) Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam
    ii) Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong
    iii) Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya
  2. Jumlah kehadiran jemaah bagi Solat Jumaat dan Solat Fardhu di semua Masjid lain ditetapkan maksimum pada 500 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid, tertakluk kepada kapasiti Masjid yang berkenaan.
  3. Jumlah kehadiran jemaah di Surau Kebenaran Solat Jumaat bagi mendirikan Solat Jumaat dan Solat Fardhu ditetapkan pada 40 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Surau.
  4. Jumlah kehadiran jemaah di Surau untuk Solat Fardhu ditetapkan pada 40 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Surau.

D.Y.M.M. Sultan Selangor turut bertitah agar ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha 1441H hanya dilaksanakan di Masjid-masjid sahaja. Walau bagaimanapun, bagi Surau-surau yang telah pun merancang melakukan ibadah korban, boleh melaksanakannya di Masjid-masjid berdekatan.

Segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran secara terperinci berkaitan titah terbaharu D.Y.M.M. Sultan Selangor ini akan dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Jawatankuasa-jawatankuasa Masjid dan Surau yang berkaitan.

Baginda menitahkan agar setiap jemaah wajib mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak JAIS khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka (face mask) ketika hadir di Masjid dan Surau serta mengamalkan penjarakan sosial. Bagi mereka yang tidak sihat adalah dilarang sama sekali untuk melaksanakan solat di Masjid dan Surau.

D.Y.M.M. Sultan Selangor akan sentiasa mengikuti perkembangan serta pematuhannya dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang pertimbangan selanjutnya bagi menentukan jumlah kehadiran Jemaah di Masjid dan Surau di Negeri Selangor.

KEKALKAN DISIPLIN DAN PATUHI SEGALA GARIS PANDUAN

Dato’ Haji Mohamad Munir bin Bani, D.P.M.S., J.S.D.
Tarikh : 1 Julai 2020

solat jumaat Selangor
solat fardhu selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge