Hong Kong sekali lagi berdepan dengan kehadiran wabak misteri selepas ia pertama kali dikesan pada 2018.

Menurut salah seorang penyelidik University of Hong Kong, Dr Siddharth Sridjar, ancaman virus misteri ini disebarkan dari tikus jalanan kepada manusia.

“Secara tiba-tiba, kita berdepan ancaman virus yang boleh disebarkan dari tikus jalanan kepada manusia,” kata Dr Siddharth Sridhar, ahli mikrobiologi dan salah seorang penyelidik di University of Hong Kong yang membuat penemuan itu.

Sejak kes pertama melibatkan pesakit berusia 58 tahun yang menjalani pemindahan hati kira-kira 2 tahun lalu, seramai 10 lagi penduduk di bandar raya terbabit disahkan positif hepatitis E tikus juga digelar HEV tikus.

Kes terbaru membabitkan seorang lelaki berusia 61 tahun yang berdepan masalah fungsi hati tidak normal dan didiagnos positif pada 30 April lalu.

“Mungkin terdapat ratusan lagi jangkitan yang gagal dikesan di luar sana. Bagaimana ia tersebar kepada manusia masih jadi misteri. Sama ada melalui makanan tercemar atau melibatkan haiwan lain. Kami masih belum temui jawapan,” ujar Sridhar.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus hepatitis E biasanya disebarkan melalui air yang tercemar dengan najis pesakit.

Tetapi, penyebaran oleh tikus itu telah mencetuskan tanda tanya kerana penyelidik masih gagal untuk mengenal pasti bagaimana penularan itu boleh berlaku.

Difahamkan, saintis turut menguji populasi tikus di seluruh Hong Kong untuk mengenal pasti kluster haiwan itu sebelum ia menularkan virus tersebut kepada manusia.

Namun kajian itu masih gagal mengetahui tempoh inkubasi sebelum pesakit didiagnos positif.

Hepatitis E ialah penyakit hati yang boleh menyebabkan demam, penyakit kuning dan hati yang membesar serta terdapat 4 spesies virus itu yang menular antara pelbagai haiwan dan hanya satu daripadanya diketahui menjangkiti manusia.
-FMT-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge