Dekorasi raya 2022

Syawal menjelang tiba, dan musim perayaan ini tentunya sinonim dengan pelbagai hiasan dan dekorasi  hari raya yang bukan sahaja memeriahkan suasana, malah juga menjadi latar yang cantik untuk gambar kenang-kenangan. Tahun ini, beberapa Pusat Beli-belah di Negeri Selangor tampil habis-habisan dengan hiasan hari raya mereka, malah ada daripadanya yang mengangkat tema yang unik.

Dah tak lama lagi saja nak raya. Ramai pun dah pulang ke kampung dan ada juga yang beraya di ibukota.

Hiasan besar ini harus diberikan perhatian yang sewajarnya oleh para pengunjung. Mari kita lihat senarai 10 Pusat Beli-belah dengan hiasan Aidilfitri yang menarik untuk anda kunjungi bersama yang tersayang lebaran ini!

  1. Quayside Mall

Quayside Mall ialah Pusat Peli-belah kejiranan terbaharu dan terbesar di Kota Kemuning, Klang. Quayside Mall terletak di tasik seluas 7 ekar dan menyediakan penduduk dengan akses kepada pelbagai jenis hiburan, barangan runcit, pilihan tempat makan, perkhidmatan dan keperluan lain. Untuk Hari Raya tahun ini, Quayside Mall membawa keseluruhan kampung tradisional ke dalam bangunan Pusat Beli-belah ini! Ia adalah lokasi yang sesuai untuk bergambar kerana ia dipenuhi dengan elemen kampung yang cantik, malah turut mempunyai kawasan yang menampilkan permainan congkak dan teng-teng.

Alamat : Quayside, 42500 Telok Panglima Garang, Selangor.

quayside mall
  • 1 Utama Shopping Centre

1 Utama Shopping Centre tampil dengan tema “Kampung Minangkabau” yang mengetengahkan keindahan Rumah Gadang setinggi 41 kaki dengan bumbung melengkung yang menonjol menyerupai tanduk kerbau, serta dihiasi dengan reka-bentuk bunga yang ditenun dalam warisan penuh berseni. Pusat Beli-belah ini menjemput anda untuk memasuki rumah yang tersergam ini, yang turut memberi penghormatan kepada senibina Negeri Sembilan dan Sumatera Barat untuk pengalaman fotografi yang penuh interaktif dan Insta-worthy.

Jadikan sambutan Hari Raya anda lebih istimewa dengan menonton persembahan yang menyeronokkan seperti Tarian Endang, Tarian Rakyat Padi, Tarian Buluh Magunatip dan Gamelan Warisan Seni Budaya, dikelilingi oleh pepohon palma yang memberikan nostalgia suasana kampung yang sebenar!

Alamat : City Centre, 1, Lebuh Bandar Utama, Bandar Utama, 47800 Petaling Jaya, Selangor.

1 Utama Shopping Centre
  • The Curve, Mutiara Damansara

Tahun ini, The Curve, Mutiara Damansara telah mengubah ruangan Centre Court mereka menjadi sebuah landskap yang unik, mengambil inspirasi daripada rona dan corak rumit tenunan songket. “The Curve Raya Estetika” menawarkan pengalaman fotografi dengan latar yang berwarna-warni dan perincian yang moden. Jom raikan Hari Raya bersama The Curve dengan membawa keluarga anda ke sini bagi menikmati pengalaman penuh keceriaan, diselangi oleh persembahan tradisional dan aktiviti yang menyeronokkan!

Alamat : 6 Jalan PJU 7/3, Mutiara Damansara 47810 Petaling Jaya, Selangor.

The Curve Mutiara Damansara
  • Setia City Mall

Setia City Mall meraikan Hari Raya dengan dekorasi yang mempesonakan di ruangan Centre Court mereka. Hiasan yang ditampilkan mengambil inspirasi dari memori perayaan Syawal yang dekat di hati, serta kemeriahan hiasan lampu-lampu berwarna-warni dan terang yang sinonim dengan  musim perayaan ini!

Alamat : Persiaran Setia Dagang, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor.

Setia City Mall
  • Tropicana Gardens Mall

Tropicana Gardens Mall menjemput anda untuk sebuah pengalaman ‘Jalinan Kasih Di Aidilfitri’ yang ditampilkan di Concourse Floor, Centre Court. Beli-belah lah pelbagai jenis juadah raya di sini. Selain menjamu selera di gerai-gerai yang dihiasi oleh hiasan tradisional, jangan lupa juga untuk mengambil banyak gambar di sini!

     Alamat : Tropicana Gardens Mall, No. 2A, Persiaran Surian, Tropicana Indah 47410 Petaling Jaya, Selangor.

Tropicana Gardens Mall
  • The Starling

Raikan “Pesona Raya” Bersama The Starling! Apabila anda membeli-belah dan menjamu selera di sini, anda boleh menikmati persembahan muzik secara langsung dikelilingi dekorasi menarik, seperti susun-atur ilustrasi potret menggunakan cat air. Semak jadual dan catat pada kalendar anda untuk memulakan perjalanan ke The Starling. Di Bazar Aidilfitri di sini, anda akan menemui semua yang anda perlukan untuk sambutan Hari Raya 2022!

Alamat : No. 6, Jalan SS21/37, Damansara Utama 47400 Petaling Jaya, Selangor.

The Starling
  • Sunway Pyramid

Tahun ini, Sunway Pyramid meraikan sambitan Hari Raya dengan tema ‘Riuh Ria Raya’ yang      merangkumi kemeriahan hiasan berwarna-warni dan acara yang menyeronokkan. Pusat Beli-belah ini mengalu-alukan semua pembeli untuk menyokong barangan keluaran tempatan atas semangat #SupportLokal.

Pusat Beli-belah ini telah merekrut seorang artis grafiti tempatan; Abdulrashade dan pasukannya untuk mencipta sebuah Mural Raya yang menakjubkan, yang boleh dilihat di rumah kampung berwarna-warna dikelilingi keindahan pepohon hijau. Datang dan lihat sendiri karya seni ini sambil membeli-belah di Sunway Pyramid!

Address : 3, Jalan PJS 11/15, Bandar Sunway, 47500 Petaling Jaya, Selangor.

Sunway Pyramid
  • Da Men Mall

Benarkan Da Men Mall membawa anda ke sebuah zaman yang lain. Di Da Men Mall, abadikan kenangan nostalgia dengan “Bestnya Raya” yang menampilkan dekorasi batik dan hiasan bertemakan tahun 90an! Mulai sekarang hingga 31 Mei 2022, lawati Da Men Mall, USJ untuk mencipta pengalaman  ‘Bestnya Raya!’ menampilkan perabot ikonik, fesyen batik dan juadah Hari Raya yang bercirikan tahun 1990-an. Anda seolah-olah dibawa semula ke zaman ini!

Address : No. 1, Persiaran Kewajipan, USJ 1 47600 Subang Jaya, Selangor.

Da Men Mall
  • Main Place Mall, USJ

Mulai sekarang hingga 8 Mei 2022, rasai pengalaman “Dreaming of Raya” di Main Place Mall, USJ 21. Nikmati corak mozek yang cantik dan bunga mekar yang mengelilingi ruangan di Pusat Beli-belah ini. Semasa anda berada di Main Place Mall USJ, jangan lupa untuk merakamkan beberapa gambar menarik dan kongsikan kepada orang  tersayang!

Address : Jalan USJ 21/10, Persiaran Kewajipan, 47630 Subang Jaya, Selangor.

Main Place Mall USJ
  • IOI Mall Puchong

Sambutan yang dinanti-nantikan telah kembali. Mulai sekarang hingga 8 Mei 2022, IOI Mall Puchong mempersembahkan ‘Uniknya Eidulfitri’, bagi meraikan perayaan yang menyeronokkan dan penuh keterujaan ini. Pusat Beli-belah ini turut menganjurkan sebuah peraduan atas talian di laman media sosial mereka, mengatur pelbagai persembahan dengan elemen Hari Raya di Lower Ground-Centre Court, dan menawarkan pelbagai gerai yang menjual barangan Raya untuk anda berbelanja!

Address : IOI Mall, Puchong, Jalan Puchong 47170 Puchong, Selangor.

IOI Mall Puchong

Gandakan kemeriahan Hari Raya anda dengan berkunjung ke Pusat Beli-belah di sekitar Negeri Selangor, bukan sahaja untuk berbelanja, malah juga untuk menghargai dekorasi megah yang ditampilkan.

Jangan lupa untuk rakamkan memori kunjungan anda ke Pusat Beli-belah di Negeri Selangor dan muat-naik ke laman media sosial anda dengan tandapagar #PusingSelangorDulu. Bagaimanapun, perlu diingatkan, pematuhan kepada SOP perlu dititikberatkan pada setiap masa demi kesejahteraan bersama di musim perayaan ini. Layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge