Dakwaan seorang individu, seperti yang disiarkan dalam sebuah portal bahawa Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan disambut pada Isnin, 2 Mei, adalah tidak tepat, menurut kenyataan Balai Cerap Al-Khawarizmi hari ini. Agensi di bawah Jabatan Agama Islam Melaka dalam satu kenyataan berkata, sebarang pemakluman awal adalah tidak benar, sehingga hasil keputusan rukyah pada 29 Ramadan 1443 H diterima dan selesai dilakukan.
Kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia adalah secara imkanurukyah (rukyah dan hisab), dan akan dilakukan pada petang 29 Ramadan 1443 H di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di seluruh Malaysia.
Hasil keputusan rukyah akan dilaporkan pada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja- Raja. Hasil keputusan rukyah akan dilaporkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja – Raja pada malam 29 Ramadan 1443 H.
Terdahulu seorang individu bernama A Zaharim A Aziz mendakwa data yang diperoleh daripada Pejabat Almanak Nautika Baginda (UK) menunjukkan ketinggian dan pemanjangan anak bulan baharu pada waktu matahari terbenam bagi Kuala Lumpur adalah masing-masing 5 darjah dan 7 darjah.
“Ini bermakna dengan kaedah Imkanur Rukyah, hilal baharu kelihatan walaupun tidak dapat dilihat kerana cuaca buruk.“
Oleh itu, selepas proses pengesanan selesai, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hendaklah mengisytiharkan bahawa 2 Mei 2022 (Isnin) adalah 1 Syawal 1443H, sehari lebih awal daripada tarikh yang dinyatakan dalam kalendar rasmi,” menurut kenyataan individu tersebut, seperti yang disiarkan dalam sebuah portal tempatan.
Hilal ialah fasa bulan yang terawal boleh dilihat selepas ijtimak yang menunjukkan sebahagian kecil dari permukaan bulan yang bercahaya. Hilal kelihatan seperti lengkuk cahaya halus seperti sabit. Penetapan awal bulan Islam secara tradisinya berdasarkan sunnah baginda Rasullah SAW iaitu dengan cara rukyah hilal.
Penetapan hilal adalah penting dalam kehidupan manusia bagi penentuan awal ramadan.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: ” Sebulan itu adalah dua puluh sembilan hari. Bila kamu sekelian melihat hilal Ramadhan berpuasalah dan bila kamu sekelian melihat hilal syawal berayalah. Jika mendung takdirkanlah hilal itu” (Muslim)