9 beranak cendawan racun

Orang ramai diingatkan agar hanya membeli cendawan komersial yang dijual di pasar, atau cendawan liar biasa yang dijual di pasar tani bagi mengelak insiden keracunan makanan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu Dr Aqilah Mohammad berkata, ini kerana tidak semua cendawan yang zahirnya kelihatan cantik, gebu dan besar, selamat dimakan.

Cendawan mengandungi toksin yang berbeza untuk setiap spesies, dan ada cendawan yang boleh menyebabkan gejala iritasi kepada badan manusia seperti loya, muntah, ciri-birit, demam dan ada juga toksin yang boleh menyebabkan gangguan halusinasi dan kecelaruan fikiran kepada manusia.

Cendawan kulat beracun

Paling membimbangkan, kesan toksin cendawan juga boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Tidak semua orang berkemahiran mengenal pasti spesies cendawan manakah yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan di persekitaran mereka.

Jadi, langkah terbaik adalah membeli cendawan komersial sahaja.

Semalam media melaporkan sembilan beranak di Kampung Nyiur, Paka dekat Dungun mengalami muntah termasuk muntah darah gara-gara menikmati hidangan sayur cendawan goreng yang dipercayai beracun, minggu lalu.

Cendawan beracun

Sukar dipastikan kerana berdasarkan gambar, cendawan itu kelihatan belum matang lagi kerana bukaan ‘payung’ atau ‘topi’ cendawan yang belum kembang sempurna.

Kewujudan cendawan yang banyak selepas hujan seperti musim tengkujuh sekarang menyebabkan ramai yang terlupa tidak semua cendawan itu selamat dimakan, apatah lagi kerana saiz dan bentuknya yang besar serta tumbuh dengan banyak dan cantik, sangat menarik perhatian.

Orang ramai dinasihatkan agar menyelidik dahulu spesies cendawan liar yang ditemui sebelum dimasak seperti bertanyakan kepada orang tua yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan mengenai cendawan atau ahli mikologi yang pakar di dalam identifikasi kulat atau cendawan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge