Ibupejabat LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengheret seorang ahli perniagaan yang sebelum ini ditahan atas tuduhan berkaitan perjudian dalam talian, atas dakwaan memiliki tunggakan cukai sebanyak RM1.4 juta. Kerajaan menerusi LHDN memfailkan writ saman terhadap Zaidi Kanapiah, atau lebih dikenali sebagai Addy Kanna, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.

Pada 1 Disember 2020, Zaidi dan seorang lagi ahli perniagaan, Goh Leong Yeong, juga dikenali sebagai Alvin Goh, ditahan selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) kerana didakwa terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian.

Bagaimanapun pada 27 April lalu, Mahkamah Persekutuan dilaporkan membenarkan permohonan Zaidi agar dibebaskan daripada tahanan itu.

Addy Kana

Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan memfailkan saman pelucuthakan sebanyak RM517,000 terhadap Goh, isteri Zaidi iaitu Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff, dan tiga syarikat.

Menurut salinan pernyataan tuntutan yang dilihat, kerajaan menuntut cukai dan penalti berjumlah RM1,427,915.45 untuk tahun taksiran 2018 dan 2019. Kerajaan yang merupakan plaintif mendakwa ahli perniagaan itu gagal memfailkan Borang Nyata Pendapatan untuk tahun taksiran 2019 sebelum 30 Jun tahun lalu.

Menurut kerajaan, LHDN kemudian menghantar notis taksiran kepadanya bagi menuntut RM918,079.23 untuk tahun taksiran 2019.

LHDN juga mengenakan taksiran tambahan sebanyak RM380,025.73 kepada Zaidi bagi tahun 2018.

Baca juga : Tahanan POCA : Addy Kana dan Dua Polis Dibebaskan

sindiket cukai Malaysia

Kerajaan mendakwa notis taksiran untuk dua tahun itu yang bertarikh 7 Mac lalu dihantar ke alamat terakhir defendan yang diketahui.

Kerajaan mendakwa ekoran kegagalan defendan membayar taksiran dalam tempoh 30 hari seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, penalti 10 peratus (untuk RM38,002.57 dan RM91,807.92) dikenakan.

Sehingga sekarang, dakwa kerajaan, Zaidi gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.4 juta.

Selain jumlah itu, kerajaan juga menuntut faedah tahunan lima peratus, bermula daripada tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos, dan relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah. -MKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge