doa keampunan

Nisfu adalah bermaksud separuh (Nisf). Oleh itu nisfu sya’ban bermaksud separuh daripada Bulan Sya’ban, iaitu pada malam ke-15. Malam Nisfu Syaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar.

Malam Nisfu Sya’ban adalah hari dimana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.

Banyak kelebihan malam nisfu syaban, antaranya malam ini adalah terbukanya pintu langit dan malam dimakbulkan doa.

Amalan Pada Malam Nisfu Syaban

Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam Nisfu Syaban.

Tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya. Berikut adalah amalan-amalan yang boleh dikerjakan:

Amalan PertamaSolat Sunat Nisfu Syaban

Solat sunat Nisfu Syaaban adalah termasuk dalam solat sunat mutlak, yang dilakukan pada waktu malam 15 Syaaban. Ia boleh didirikan selepas mengerjakan Solat Maghrib, Isyak atau bersama solat-solat sunat qiamullail.

Sesungguhnya Malam Nisfu Syaaban ini adalah kesempatan untuk menyuci dan memperbaiki diri dengan meminta ampun dan mohon diubah segala yang tercatat dikitab Azali kearah positif bagi menginsafi dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Cara Mengerjakan Solat Sunat Nisfu Syaaban:

1.Lafaz niat:

 Usolli Sunnata Lailati Nisfi Sya’bana Rak’ataini Lillahi Taala 

Niat dalam Melayu:

Sahaja aku solat sunat malam nisfu Syaban dua rakaat kerana Allah Taala

2.  Rakaat pertama baca surah al-Fatihah dan Surah al-Kafirun.
3.  Rakaat ke dua, selepas al-Fatihah baca Surah al-Ikhlas.
4.  Teruskan solat sehingga selesai. Selepas memberi salam, bacalah surah Yasin 3 kali.

Ulama’ khilaf tentang solat ini

Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazzali (505H) adalah antara ulama’ yang membolehkannya, dalam kitab Ihya’ Ulumid Din, 1/209-210

Haruslah difahami bahawa mengerjakan solat sunat Mutlak atau solat Sunat Awwabin, boleh dilakukan pada mana-mana malam sekalipun, termasuklah malam Nisfu Sya’ban.

Amalan KeduaMembaca Surah Yasin Sebanyak 3 Kali

Selepas selesai melakukan solat sunat, bacalah surah Yasin tiga kali.

Disebutkan oleh Imam Abdul Ghani bin Ismail an-Nablusi dalam kitabnya
Fadha’il al-Ayyam wa asy-Syuhur, ms. 38, antara amalan para solehin pada malam ini,
selepas solat fardhu Maghrib dan Sunat Ba’diahnya, dibaca Surah Yaasin 3 kali.

Sekiranya tidak sempat melakukannya selepas solat Maghrib, lakukannya selepas Solat Isyak.

Bacalah Yasin dengan niat supaya:

  1. Allah memanjangkan umur serta dapat beribadat
  2. Menambah rezeki
  3. Ditetapkan dan meningkatkan iman dan mati dalam husnul khatimah

Amalan KetigaDoa Nisfu Syaban

Selepas selesai membaca Yasin, bacalah Doa Nisfu Syaban. Antara doa malam Nisfu Syaban yang ma’thur boleh dibaca adalah seperti berikut:

Maksudnya:

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian Alam. Selawat dan salam ke atas Muhammad dan sekalian keluarganya serta sahabat baginda.

Ya Allah pemilik (semuanya) baik anugerah dan yang tidak dianugerahi, wahai yang memiliki kebesaran dan kemulian, wahai yang memiliki kurnia dan kenikmatan, tiada Tuhan kecuali Engkau.

Engkaulah tempat berlindung,tempat memohon pertolongan dan pengaman bagi orang yang ketakutan.

Ya Allah, jika Engkau telah menulis di dalam Ummul Kitab nasib kami sebagai orang yang sengsara, atau yang diharamkan mendapatkan kenikmatan, atau yang ditolak, atau yang disempitkan rezekinya, maka demi kemuliaan-Mu ya Allah, hapuskanlah kesengsaraan kami, keterhalangan kami dari nikmat, ketertolakan dan kesempitan rezeki kami.

Dan tetapkanlah di dalam Ummul Kitab yang ada di sisi-Mu, kami sebagai orang yang bahagia, mendapat rezeki, mendapat taufik untuk melakukan kebaikan.

Sesungguhnya Engkau telah berfirman dengan firmanMu yang hak di dalam kitab-Mu yang diturunkan kepada Nabi utusanMu, “Allah (berkuasa untuk) menghapus dan menetap yang dikehendakiNya dan di sisiNya Ummul Kitab.”

Ya Allah, dengan tajalli-Mu yang Maha Agung pada malam nisfu syaban yang mulia ini, yang di dalamnya dipisahkan dan dikukuhkan seluruh persoalan penting, kami mohon agar dihindarkan dari malapetaka yang kami ketahui ataupun yang tidak kami ketahui dan Engkau Maha Mengetahui, sesungguhnya Engkau Maha Pemurah dan Maha Mulia.

Semoga salam dan sejahtera dilimpahkan kepada Nabi Muhammad, keluarga dan sahabatnya.

Segala puji bagiMu ya Allah, Tuhan pemelihara Alam.

Terdapat khilafiah pendapat ulama terhadap malam Nisfu Syaban.

Kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum.

Terpulanglah kepada kita yang mana dirasakan lebih baik.

Walau bagaimana pun, jangan diiktikadkan bahawa malam tertentu sahaja dianjurkan beramal seperti membaca al-Quran dan sebagainya, tetapi boleh dibuat pada bila-bila masa dan tidak semestinya dibaca Yasin 3 kali.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim..
Jika Engkau takdirkan panjang usiaku
Tetapkanlah aku di jalanMu
Agar aku istiqamah menjejaki keredhaanMu
Teguh menjalankan perintahMu,tunduk pada ketentuanMu.
Jadikanlah diri ini orang yang selalu menjauhi laranganMu.
Agar tidak sia-sia sisa umurku berlalu…
Amin

-AkuIslam-

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge