Kerajaan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dalam Belanjawan 2022 dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion yang dijangka memanfaatkan 9.6 juta penerima. Peruntukan itu merupakan peningkatan berbanding Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebanyak RM7 bilion yang memberi manfaat kepada 8.6 juta penerima sebelum ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, menerusi bantuan tersebut, isi rumah yang berpendapatan kurang atau RM2,500 dan memiliki lebih tiga orang anak akan menerima bantuan sebanyak RM2,000 secara ‘one-off‘.

Sebagai pembaharuan untuk tahun hadapan kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.

Selain itu bantuan tambahan sebanyak RM300 lagi turut diberikan kepada isu rumah warga emas. Ini bermakna kepada ibu atau bapa tunggal yang memiliki tiga anak dan lebih, layak mendapat BKM maksimum RM2,500.

Belanjawan 2022 menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Rakyat yang Sejahtera; Perniagaan Yang Berdaya Tahan; serta Ekonomi Yang Makmur dan Mampan. Selain itu, Tengku Zafrul berkata, berhubung bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), syarat kelayakan kebajikan akan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu 1,169 ringgit berbanding PGK 2016 iaitu RM980 sebelum ini.

Usaha meluaskan liputan perlindungan sosial ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan bagi memastikan bantuan yang sampai ke tangan mereka yang memerlukan, turut mengambil kira kenaikan kos sara hidup semasa. Oleh itu, dengan kenaikan ini, lebih ramai akan menikmati faedah bantuan kebajikan di bawah JKM dengan peruntukan tambahan RM200 juta.

Secara keseluruhan RM2.4 bilion disediakan bagi penyaluran bantuan kebajikan untuk manfaat lebih 440 ribu isi rumah yang memerlukan. -Awani

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge