Daripada Shuhaib RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (HR Muslim No: 5318)

Mukmin yang dikagumi ialah yang sentiasa bersyukur dengan nikmat dan bersabar dengan setiap musibah yang berlaku keatas dirinya.

Mukmin yang sempurna sentiasa bersyukur diatas setiap kebaikan atau nikmat yang diperolehi. Syukur itu diperlihatkan pada lima perkara:

a. Tunduk dan merendah kepada Allah, zat yang disyukuri
b. Cinta kepada Allah
c. Mengakui bahawa nikmat itu adalah pemberian Allah
d. Memuji Allah dengan lisan dan perbuatan atas limpahan nikmat tersebut
e. Tidak memanfaatkannya dalam perkara yang dibenci Allah.

Mukmin yang dikagumi itu ialah apabila mendapat keburukan atau musibah, dia bersabar dan reda. Contoh musibah wabak Covid 19 yang membuatkan setiap kita terpaksa kuarantin di dalam rumah dalam tempoh yang agak lama.

Dengan kesabaran ini semoga kita dapat meningkatkan kedudukannya serta dianugerahkan pahala tanpa batasan daripada Allah SWT.

Ibnu Qayyim menyatakan, sabar merupakan setengah dari keimanan dan setengahnya lagi adalah syukur.

Seorang yang tidak beriman, hatinya sentiasa keluh kesah, jiwanya selalu meronta dan terseksa apabila ditimpa musibah seperti wabak Covid 19 ini. Hati dipenuhi perasaan dukacita dan kemarahan.

Tidak redha malah cuba menyalahkan orang lain sebagai penyebab virus ini berkembang. Kita lupa bahawa sebelum ini telah banyak nikmat yang dianugerahkan kepada kita yang tidak disyukuri.

Pentingnya sifat syukur apabila seseorang mendapat kebaikan dan bersabar apabila ditimpa musibah kerana ianya menjadikan seseorang itu sebenar-benar Mukmin. Namun amatlah sedikit dalam kalangan hamba yang diberikan dua sifat ini.

Justeru, taufik dan hidayah Allah SWT amat diperlukan untuk meraih anugerah ini kerana sifat syukur dan sabar itu adalah sebaik-baik nikmat.

Setiap Mukmin akan melalui pelbagai ujian dan dugaan dalam hidup.

Perumpamaan orang mukmin seperti sepohon pokok muda lembut (elastic), apabila ditiup angin menyebabkan ia condong kekanan dan kekiri dan mudah tegak kembali. Hal ini bermaksud keadaan seorang mukmin yang sentiasa melalui ujian dan cobaan, namun ia tahan diuji tidak akan patah malah akan berdiri tegak kembali selepas ujian tersebut.

Perbandingan orang yang berbuat dosa atau kafir seperti pokok kayu jati yang keras dan berdiri tegak, apabila ditiup angin akan mudah patah atau tombang. Berterusan melakukan kemungkaran tanpa rasa bersalah hingga Allah mendatangkan hukuman kepadanya sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Untuk menjadi mukmin sebenar, mesti melalui ujian dan cabaran dengan sabar dan redha di atas ketetapan qada dan qadar. Dalam masa melalui ujian dan bencana inilah dapat diketahui kekuatan, keyakinan dan kesabaran seseorang kepada Allah.

Ujian yang dilalui seperti kesusahan semasa Wabak Covid 19, terpaksa dikuarantin, bagi frontliner terpaksa berdepan dengan risiko yang tinggi. Ada juga yang terputus pendapatan kerana terpaksa tidak bekerja dan lain-lain, kesemua kepayahan, kesempitan, kelaparan dan sebagainya merupakan satu proses pembersihan dosanya serta mengangkat darjat seseorang ketempat yang lebih tinggi. Hadis Nabi SAW:

مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

“Tidak ada satupun musibah (kesusahan) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya.” (Sahih Muslim No: 4665)

Jadilah seperti pohon muda yang tidak patah atau tumbang apabila ditiup angin, malah lebih kuat dan cekal. Jadilah mukmin yang tahan diuji, sabar melalui ujian dan musibah ini. Moga musibah virus Covid 19 ini menjadikan kita orang yang lebih kental dan kuat keimanannya.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge