Perkahwinan bertujuan untuk mewujudkan rumah tangga dan ahli keluarga yang bahagia. Bagi mewujudkan kebahagiaan dalam berumah tangga, kita perlu berlaku baik terhadap ahli keluarga antaranya dengan saling memenuhi hak dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri, bapa dan ibu serta anak.

Sebaik-baik kita adalah orang yang paling baik pergaulannya terhadap ahli keluarganya.

Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata:

(Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. Rujuk Tuhfat al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (10/269).

Bertimbang rasa, bertolak ansur dan saling menyayangi antara pasangan dan anak-anak merupakan antara faktor yang menjamin keharmonian rumahtangga. Contohilah Rasulullah SAW dalam berbuat baik dan memberi layanan kepada ahli keluarganya kerana Rasulullah SAW paling baik layanan terhadap isteri dan anak-anaknya.

Sedekah Kepada Ahli Keluarga

عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Daripada Az Zuhriy berkata, telah mengkhabarkan kepada saya Sa’id bin Al Musayyab bahawa dia mendengar Abu Hurairah RA dari Nabi SAW bersabda,: “Sebaik-baik sedekah adalah yang di luar keperluan (yang sudah cukup untuk keperluan dirinya). Maka mulakanlah pemberian untuk orang yang menjadi tanggunganmu”.(HR Bukhari No: 1337) Hadis Sahih

Amalan bersedekah atau pemberian kepada orang lain adalah amalan mulia yang dituntut kepada setiap Muslim.

Antara perkara yang membawa kebahagiaan dalam berkeluarga adalah saling melaksanakan tanggungjawab. Satu daripada tanggungjawab ketua keluarga ialah menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Pemberian kepada ahli keluarga merupakan sedekah.

Bersedekah atau pemberian yang sebaiknya adalah selepas menyempurnakan hak dan tanggungjawab keluarga. Firman Allah:

وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ

“Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ” Yang lebih dari keperluan.” (QS. Al Baqarah: 219).

Al ‘afwu dalam ayat di atas bermakna sedekah itu di luar keperluan asas (Ibnu Katsir, 2: 145).

Sedekah atau pemberian kepada keluarga terlebih dahulu lebih diutamakan kerana ganjarannya lebih besar berbanding sedekah (pemberian) kepada orang lain.

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَتُكَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الْقُرْبَى الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

Rasulullah SAW bersabda: “Sedekahmu pada orang-orang miskin bernilai satu sedekah, sedangkan sedekahmu pada kerabatmu bernilai dua iaitu; (1) sedekah dan (2) menyambung silaturahim.” (Musnad Ahmad No: 17197) Isnad Hasan

Pemberian Nafkah Kepada Keluarga Adalah Sedekah

Daripada Abu Mas’ud Al-Anshari maka aku berkata; Dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Jika seorang muslim memberi nafkah pada keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka baginya hal itu adalah sedekah.” (HR Bukhari No: 4932) Hadis Sahih

Bagi seorang suami dan bapa kepada anak-anak, memberi nafkah keperluan kepada ahli keluarga adalah tanggungjawab wajib. Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga isteri dan anak-anak-anak mengikut kemampuannya. Menyia-nyiakannya akan menyebabkan berdosa.

Memberi nafkah ke atas orang yang berada di bawah tanggungannya adalah sedekah. Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga dengan sebab perkahwinan, merangkumi makan minum, rumah kediaman, penjagaan kesihatan, perlindungan, kasih sayang, pendidikan dan lain-lain.

Dalam masyarakat hari ini, walaupun isteri sama-sama bekerja, namun tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Isteri masih boleh membantu di mana yang sesuai sebagai pelengkap. Sumbangan isteri kepada keluarga juga dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T.

Muslim yang memberi nafkah pada ahli keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka itu adalah sedekah

Mulakan pemberian kepada ahli keluarga terlebih dahulu termasuk ibu bapa serta kaum kerabat yang terdekat, lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui ada ahli keluarga kita yang terkesan ekonomi mereka

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge