Penyerang handalan Senegal, Sadio Mane, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Afrika buat kali kedua pada majlis anugerah Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) di Rabat, Maghribi.

Mane menjaringkan penalti kemenangan ketika Senegal menewaskan Mesir dalam penentuan sepakan penalti ketika perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika tahun ini, untuk menjulang piala buat kali pertama.

Anugerah itu dianjurkan kembali buat kali pertama dalam tiga tahun selepas tidak diadakan akibat pandemik Covid-19 dengan pemain Nigeria, Asisat Oshoala, juga mengekalkan gelaran bagi kategori wanita yang dimenanginya pada 2019.

“Saya sangat, sangat gembira menerima piala tahun ini. Saya berterima kasih kepada rakyat Senegal dan mendedikasikan piala ini kepada golongan muda negara saya” – Mane.

Pemain Terbaik Afrika

Malam Gemilang Pemain Terbaik Afrika

Mane menewaskan rakan senegara dan penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy serta bekas rakan sepasukan Liverpool, Mohamed Salah, yang pasukannya Mesir tewas kepada Senegal pada perlawanan akhir, Februari lalu.

Mane yang turut membantu Senegal mara ke Piala Dunia dan memenangi dua piala domestik bersama Liverpool.

Pengiktirafan terhadap Mane sebagai Pemain Terbaik Afrika adalah antara lima kemenangan daripada tujuh kategori lelaki yang diraih oleh Senegal, malam yang gemilang untuk negara Afrika Barat itu.

Aliou Cisse memenangi jurulatih terbaik dengan Senegal dinamakan pasukan lelaki terbaik tahun ini. Pape Sarr dinobatkan sebagai pemain muda terbaik dan seorang lagi pemain Senegal, Pape Ousmane Sakho, memenangi jaringan gol terbaik.

“Kami menunggu lama untuk anugerah ini. Kami adalah contoh yang baik kepada semua pasukan lain yang belum menang (Piala Negara-Negara Afrika),” – Presiden Persekutuan Bola Sepak Senegal, Augustin Senghor.

Sarr yang muncul hanya sekali ketika kejayaan bersejarah Senegal pada Piala Negara-Negara Afrika, memenangi anugerah yang pernah diraih oleh Mohamed Salah ketika dipinjamkan bersama kelab Perancis Metz, sekali gus mengenepikan pemain Red Bull Salzburg dari Ivory Coast, Karim Konate dan pemain Manchester United, Hannibal Mejbri dari Tunisia.

Legenda bola sepak Afrika seperti Daniel Amokachi, Lucas Radebe, Jay-Jay Okocha, Geremi Njitap dan gandingan Senegal El Hadji Diouf dan Khalilou Fadiga, hadir di Kompleks Mohamed VI, untuk meraikan di atas pentas bersama Mane.

Baca juga : Tiktoker Khaby Lame Seorang Muslim dan Hafiz, Kini ada 145 Juta Followers

Pemenang Anugerah CAF 2022

Pemain Terbaik (lelaki): Sadio Mane (Senegal & Bayern Munich)

Pemain Terbaik (wanita): Asisat Oshoala (Nigeria & Barcelona)

Jurulatih Terbaik (lelaki): Aliou Cisse (Senegal)

Jurulatih Terbaik (wanita): Desiree Ellis (Afrika Selatan)

Pasukan Kebangsaan Terbaik (lelaki): Senegal.

Pemain Muda Terbaik (wanita): Evelyn Badu (Ghana & Sekondi Hasaacas Ladies/Alvaldsnes)

Pemain Muda Terbaik (lelaki): Pape Matar Sarr (Senegal & Tottenham Hotspur)

Kelab Terbaik (wanita): Mamelodi Sundowns (Afrika Selatan).

Kelab Terbaik (lelaki): Wydad Athletic Club (Maghribi).

Pemain Terbaik Antara Kelab (wanita): Evelyn Badu (Ghana & Sekondi Hasaacas Ladies/Alvaldsnes)

Pemain Terbaik Antara Kelab (lelaki): Mohamed El Shenawy (Mesir & Al Ahly).

Gol Terbaik Tahun Ini: Pape Ousmane Sakho (Senegal & Simba).

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge