Site icon Geng Borak

Pengeluaran KWSP 2.0 : Kerajaan Digesa Benarkan Sekali Lagi

I Citra KWSP one off

Kerajaan digesa membenarkan sekali lagi pengeluaran KWSP 2.0 sebanyak RM10,000 pada Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini. Rayuan itu turut diluahkan melalui media sosial milik Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, masih ramai rakyat berharap pengeluaran KWSP dibenarkan meskipun terdapat tentangan daripada segelintir pihak.

Kerajaan perlu memikirkan bebanan yang ditanggung rakyat selepas kenaikan OPR sebanyak tiga kali berturut-turut dari 1.75 hingga ke 2.25 peratus disamping inflasi yang dihadapi sehingga membawa kepada kenaikan kos sara hidup. 

Duit KWSP Habis Bayar Hutang

Memang sebenarnya yang terjejas perlukan (pengeluaran one-off KWSP) sebab itu duit mereka yang bekerja dan di dalam keadaan terdesak. Mereka fikir itu alternatif untuk mereka tampung perbelanjaan.

Sekarang inflasi meningkat dan kita lihat hutang isi rumah juga meningkat ekoran terbeban dari segi pinjaman akibat kenaikan OPR yang dikenakan pihak bank.  

Dengan pengeluaran khas ini, ia dapat menampung perbelanjaan isi rumah untuk jangka pendek di samping menggalakkan kitaran wang dalam negara. Ini berlaku ketika rakyat mula membeli apabila terdapat aliran tunai, seterusnya memberi kesan positif kepada pusingan kitaran ekonomi.

Dengan mewujudkan pengeluaran khas untuk golongan tesebut (sebahagian atau keseluruhan simpanan KWSP), dapatlah ia dimanfaatkan oleh golongan berkenaan untuk meneruskan kelangsungan  hidup ataupun untuk tujuan tertentu seperti menunaikan ibadah haji.

Baca juga : Pengeluaran Khas KWSP 2.0 Dituntut Lebih 134,000 Pencarum

Inisiatif Selain Pengeluaran KWSP 2.0

Wang simpanan KWSP adalah hak milik pencarum dan sewajarnya ahli tidak aktif juga dibenarkan untuk mengeluarkan wang tersebut. Ini terutamanya untuk meneruskan kelangsungan hidup kerana mereka tiada pilihan lain selain terpaksa bergantung kepada simpanan KWSP.

Sebelum ini KWSP membenarkan kemudahan pengeluaran melalui i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra berikutan pandemik C0VID-19

Kerajaan juga perlu mengambil inisiatif tambahan dengan mewujudkan kempen perbelanjaan berhemah menggunakan wang KWSP sekiranya pengeluaran one-off tersebut dibenarkan sekali lagi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul La­tiff berkata, pengeluaran KWSP 2.0 di dalam bajet 2023 dilihat hanya memberi manfaat besar kepada golongan T20 dan sebahagian M40.

Kebanyakan pencarum B40 tidak akan menerima manfaat berkenaan. Data KWSP menunjukkan majoriti pencarum terutamanya bangsa Melayu tidak mempunyai simpanan mencukupi di dalam KWSP mereka.

Baca juga : Mana Lebih Utama? Bayar Zakat Harta atau Selesaikan Hutang?

Kerajaan sewajarnya memberi tumpuan untuk menambah jumlah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dengan menjadikannya lebih berkala dan bukan secara one-off.

Selain itu, pemberian baucar elektronik (e-baucar) di bawah kaedah muqassah kepada semua isi rumah B40 juga mampu membantu rakyat. Bermaksud boleh ditukar dengan barangan keperluan asas setiap bulan.

Peniaga akan mengumpul e-baucar ini dan menebus dengan kerajaan melalui pengurangan pembayaran cukai korporat. 

Kelebihan e-baucar berbanding bantuan tunai seperti sekarang ialah dapat memastikan bantuan tersebut tidak digunakan untuk maksud lain. Dan kerajaan tidak perlu menambah hutang untuk memberi bantuan tunai kerana menggunakan konsep muqassah.

Exit mobile version