Suami kepada pasangan tular yang meninggalkan anak mereka untuk dijaga oleh pengawal keselamatan di pangsapuri Sky Awani I ditahan atas kesalahan jenayah lain di Wangsa Maju. Satu klip video memaparkan pasangan tersebut memaki hamun pengawal keselamatan berkenaan turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan menahan suami kepada pasangan penyewa yang tular selepas didakwa memaki-hamun seorang pengawal keselamatan, gara-gara menolak menjaga anak mereka baru-baru ini.

Eng Lai dalam satu kenyataan memberitahu, penahanan tersebut dibuat atas kesalahan jenayah bersabit kes lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, bukannya melibatkan kes berkaitan video tular pergaduhan antara pengadu dan pengawal keselamatan.

Kata beliau, pihaknya pada mulanya ada menerima laporan berhubung berkaitan video tular berkenaan kira-kira pukul 7.29 pagi pada 1 November lalu yang dibuat oleh isteri suspek berusia 29 tahun. 

Hasil siasatan  polis berdasarkan video yang tular tersebut mendapati, kejadian yang berlaku pada 27 Oktober lalu itu hanya melibatkan pertengkaran mulut antara pengadu dan pengawal keselamatan dan tidak melibatkan kekerasan jenayah. 

Sehubungan itu, tiada tindakan undang-undang ke atas kedua-dua pihak yang terlibat.

Mengulas lanjut, kata Eng Lai, polis berharap supaya spekulasi terhadap video tular pergaduhan antara penyewa dan pengawal keselamatan di Sky Awani I dapat dihentikan kerana berita yang tidak tepat boleh mendatangkan keresahan dan kerisauan kepada masyarakat.

Pada pukul 12 tengah hari, 3 November 2021, satu waran telah dikeluarkan oleh pihak polis ke atas suspek lelaki kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti curi dan jenayah lampau.

Pasangan penyewa itu kerap berpindah bagi mengelakkan diri mereka dikesan. Beberapa anggota polis bersama pihak pengurusan hadir ke unit berkenaan dan pasangan tersebut bersama anaknya telah dibawa keluar ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menyalurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur ditalian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul ditalian 03-40482222 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Media sebelum ini melaporkan seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sebuah kawasan perumahan didakwa dimarahi dan dihambur kata-kata kesat oleh seorang lelaki hanya kerana tidak menjaga anak mereka. –Utusan

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge