Kubah di Masjid Nabawi Madinah

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H bersamaan 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bermula pukul 9.30 pagi, Ahad ini. Kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW.

Sambutan Maulidur Rasul merupakan salah satu acara rasmi kerajaan yang disambut setiap tahun sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia. 

Sambutan bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW. Ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah.

Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong telah berkenan untuk berangkat hadir ke majlis tersebut. Perdana Menteri dan isteri turut sama akan hadir bagi memeriahkan acara sambutan.

Maulidur Rasul 1444H

Tema Sambutan Maulidur Rasul 1444H / 2022M

Tema sambutan pada tahun ini adalah ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ yang bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Dan ia juga pendekatan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang diperkenalkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. 

Kedua-dua pendekatan tersebut menjadi simbol kebersamaan termasuk dalam menghadapi sebarang cabaran bagi mencapai kehidupan yang lebih harmoni dan sejahtera. Kesemua itu menjurus kepada pemeliharaan kemaslahatan umah melalui lima prinsip utama iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul kepada individu-individu yang layak akan disampaikan dalam sambutan kali ini sebagai pengiktirafan kepada individu-individu yang layak dan telah memberi sumbangan yang cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara.

Majlis pada kali ini akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam orang penerima Anugerah Maulidur Rasul. Penerima Anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang telah disumbang untuk pembangunan Islam yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara.

Baca juga : 7 Orang Yang Memandikan Jenazah Rasulullah

Kubah masjid nabawi

Jakim juga akan membawakan persembahan khas yang mengangkat keperibadian Nabi Muhammad sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa-peristiwa dari sirah kehidupan baginda.

Persembahan khas ini diadaptasikan dengan kepelbagaian penyampaian yang berunsurkan keislaman yang menggabungkan pelbagai peringkat usia, bangsa dan keturunan yang bersatu atas nama Islam.

Sebagai sebahagian dari program Sambutan Maulidur Rasul, sebuah Forum Perdana Ehwal Islam Khas turut diadakan pada 6 Oktober di TV1 dengan tajuk ‘Kasih Tanpa Syarat’ anjuran Kerajaan negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah dengan kerjasama JAKIM dan RTM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge