147Shares

Pejam celik, pejam celik, tinggal sehari saja lagi kita akan menyambut tahun baharu 2021. Kita akan meninggalkan 2020 dengan pelbagai memori yang pasti sukar untuk dilupakan.

Memori tahun 2020 tak akan dilupakan

Sebelum kita membuka lembaran buku sempena tahun baharu 2021, apa memori untuk tahun ini yang tidak akan dapat dilupakan?

Boleh dikatakan sepanjang 2020, kehidupan kita semua sama ada penduduk di Malaysia atau di seluruh dunia adalah berkisarkan tentang pandemik COVID-19.

Pada awal tahun, seluruh negara dikejutkan dengan penemuan virus di Wuhan yang dikenal pasti sebagai virus korona (novel coronavirus).

Ia digelar sebagai novel coronavirus (nCoV-2019) atau virus korona baharu berikutan strain tersebut tidak pernah dikesan pada mana-mana individu sebelum ini. Lebih membimbangkan, cara penularan virus tersebut berlaku antara manusia dengan manusia dan haiwan dengan manusia.

Namun, apa sebenarnya kita boleh pelajari daripada tahun 2020 yang penuh dengan dugaan dan cabaran sebelum melangkah ke tahun baharu 2021?

Pengajaran hidup menjelang tahun baharu 2021

Pasti anda bersetuju jika dikatakan COVID-19 adalah sesuatu yang mengejutkan dan sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan seharian kita semua.

Dalam masa sama, banyak perkara yang boleh kita pelajari dan menjadi pengajaran semasa wabak pandemik ini.

Mari kita lihat 5 perkara yang kita belajar tanpa sedar pada tahun 2020 ini.

1. Mengetahui keutamaan dalam kehidupan.

Anda pasti pernah mendengar ungkapan bahawa duit adalah segala-galanya kan?

Namun, apabila dunia dilanda pandemik COVID-19, pasti ia membawa kesedaran kepada sesetengah individu bahawa duit bukanlah segalanya.

Ya, tidak dinafikan kita memerlukan duit untuk meneruskan kehidupan. Tetapi dengan penularan wabak pandemik ini, bukankah perkara paling penting adalah berkaitan kesihatan diri dan juga insan yang anda sayangi?

2. Jangan abaikan kesihatan mental

Tahun baharu 2021 bakal menjelma, namun malangnya masih ramai di antara kita yang tidak menganggap kesihatan mental perkara penting untuk dijaga seperti mana kesihatan fizikal.

Semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai individu mengalami tekanan yang berpunca daripada pelbagai faktor. Antara punca tekanan tersebut adalah masalah kewangan, kehilangan pekerjaan dan kemurungan.

Jika anda merasakan diri berada dalam keadaan ini, dapatkan sokongan daripada individu yang rapat atau melalui bantuan profesional.

Ini kerana jika dibiarkan, semua itu akhirnya boleh menjejaskan tahap kesihatan mental anda.

3. Waspada dengan sebarang penyakit

Antara memori tahun 2020 yang terbaik adalah apabila semua individu mementingkan penjagaan kebersihan diri.

Jika sebelum kedatangan virus COVID-19, kebanyakan kita memandang remeh aspek tersebut.

Batuk atau bersin tanpa menutup mulut menggunakan tisu, meludah ke jalan sesuka hati serta masih keluar berjalan mahupun hadir ke pejabat dalam keadaan selesema dan demam.

Bahkan, bagi individu yang sentiasa membawa tisu, tisu basah, gel pembersih tangan atau apa sahaja alatan kebersihan diri, akan dianggap sebagai renyah.

Namun keadaan tersebut telah berubah, dengan masih tiada vaksin yang ditemui, rata-rata individu kini semakin sedar mengenai kepentingan menjaga kebersihan diri untuk diri sendiri dan juga komuniti di sekeliling.

Diharapkan semoga tabiat dan amalan kebersihan diri ini akan dibawa ke tahun baharu 2021 dan seterusnya walaupun selepas vaksin diperolehi.

4. Belajar untuk hidup sendiri

Ada individu yang berasakan bersendirian sebagai perkara yang tidak baik.

Mereka yang tergolong dalam kelompok introvert selalu dianggap sebagai seorang antisosial atau tiada siapa yang mahu berkawan dengannya.

Manakala, terpaksa bersendirian bagi individu ekstrovert yang sering dikelilingi teman-teman menyebabkan mereka berasa kesunyian dan memenatkan.

Disebabkan itu, apabila kerajaan mengumumkan isolasi, PKP dan amalan jarak sosial, ia mewujudkan kesukaran. Hakikatnya, akan tiba masa tertentu diri anda memerlukan waktu untuk bersendirian dan ia tidak bermakna diri tidak diingini mahupun antisosial.

5. WFH harus kekal dijadikan pilihan

Bekerja dari rumah atau “work from home” (WFH) dahulunya dianggap sebagai perkara yang tidak bagus dari aspek pekerjaan.

Ini kerana, ia dikatakan mungkin akan menyebabkan prestasi pekerjaan menurun disebabkan anda tidak dapat fokus dalam melakukan pekerjaan hakiki. Disebabkan itu, kehadiran secara fizikal di tempat kerja lebih digalakkan.

Pun begitu, penularan wabak pandemik COVID-19 merubah segalanya.

Dengan kebanyakan daripada kita tidak dapat hadir ke pejabat, maka amalan WFH perlu dilakukan. Ternyata pretasi kerja masih berada di tahap yang terbaik, bukan?

Bahkan, mungkin lebih baik kerana dapat mengurangkan tekanan, stres dan masa yang terbuang untuk jarak perjalanan ke tempat kerja, menempuh kesesakan jalan raya mahupun kepadatan individu dalam pengangkutan awam.

Mungkin amalan WFH boleh dijadikan pilihan dalam meningkatkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan harian. Ini kerana kerja masih tetap berjalan seperti biasa walaupun tanpa kehadiran fizikal.

Lebaran tahun baharu 2021

Walaupun dunia terkesan dengan penularan wabak pandemik COVID-19, namun, dalam masa yang sama ada pengajaran terselit untuk kita semua.

Semoga segala kenangan dan memori tahun 2020 akan menjadikan kita sebagai individu yang lebih mengutamakan kesihatan mental dan amalan kebersihan diri.

Diharapkan tahun 2021 akan menghadirkan sinar yang lebih baik untuk kita semua.

Selamat Menyambut Tahun Baharu 2021!

147Shares

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge