duit ringgit malaysia

Di zaman kegawatan ekonomi, cabaran terhadap kos perbelanjaan hidup semakin meningkat. Oleh itu, kita sewajarnya ada perancangan kewangan yang baik agar tidak terjerat dengan krisis ekonomi tahun 2023 yang mendatang. Banyak yang berlaku seperti kehilangan pekerjaan atau perniagaan tidak lagi berjalan dengan baik dan mengalami kerugian yang teruk.

Kemelesetan ekonomi akan memberi kesan terhadap ramai orang, tetapi golongan paling terjejas adalah mereka yang kehilangan pekerjaan ataupun yang sedang menganggur. Begitu juga dengan mereka yang mempunyai hutang yang tinggi. Jika baru sahaja memulakan pekerjaan yang baru, risiko untuk diberhentikan lebih tinggi apabila majikan mula membuang pekerja.

Kita tidak mampu mengawal kemelesetan ekonomi daripada berlaku mahupun meramal jaminan keselamatan pekerjaan kita. Tetapi, kita boleh mempersiapkan diri kita untuk menghadapi kemelesetan ekonomi. Dan lebih awal kita bermula, lebih baik.

Sediakan payung sebelum hujan, pepatah ini perlu kita aplikasinya sebelum sesuatu yang buruk menimpa kita. Sekurang-kurangnya ada juga yang boleh tampung kalau kita di buang kerja. Betul tak?

Duit Simpanan Krisis Ekonomi Tahun 2023

Perancangan kewangan dengan membina tabung kecemasan

Nak buat tabung kecemasan, ia mungkin mengambil masa bertahun untuk membina jaringan keselamatan sebanyak enam bulan bergantung kepada pendapatan dan perbelanjaan. Tetapi kita tidak perlu risau kerana yang lebih penting ialah menyimpan sekarang lebih baik daripada tidak bermula langsung.

  • Mulakan dengan langkah kecil. Jika anda mampu menyimpan RM10 seminggu, dalam masa setahun, anda akan mempunyai RM520 dalam tabung kecemasan. Tambahkan nilai simpanan sedikit demi sedikit berdasarkan pendapatan anda.
  • Buka akaun simpanan yang baru. Jangan gunakan wang di dalam akaun tersebut kecuali bila anda benar-benar memerlukannya. Simpan kad debit akaun tersebut di tempat yang tersembunyi untuk mengelakkan anda daripada menggunakan wang tersebut selain untuk kecemasan.
  • Jika pendapatan anda stabil dan tetap, buat deposit terus secara automatik supaya anda tidak perlu risau jika terlupa untuk membuat pindahan wang ke dalam akaun simpanan kecemasan anda.
  • Fikirkan cara yang baru untuk mengumpul duit simpanan. Cuba untuk simpan semua wang kertas yang bernilai RM1, RM5, RM10 atau RM20 selama satu tahun.

Jika nak target lebih pun boleh, gunakan Saving Goals Calculator ni. Untuk mengira nilai masa depan pelaburan bulanan, masukkan baki permulaan, jumlah bulanan yang dirancang untuk deposit, kadar faedah yang anda jangkakan untuk peroleh dan bilangan tahun yang dijangka untuk terus membuat deposit bulanan, kemudian klik “Kira” “butang. Barulah kita akan nampak betapa bagusnya membuat tabung kecemasan ini.

Simpanan Krisis Ekonomi Tahun 2023

Sesuaikan cara hidup anda dengan normal baharu

Mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan amat penting untuk memastikan kita kekal berdaya tahan sewaktu kemelesetan ekonomi. Ini bukan bermakna perlu ketepikan semua keselesaan hidup. Terdapat pelbagai cara untuk mengecilkan perbelanjaan tanpa perlu menjejaskan taraf hidup.

  • Masak sendiri dan makan di rumah dengan lebih kerap. Gunakan bahan tempatan daripada bahan yang diimport.
  • Cabar diri untuk tidak membeli belah selama setahun, kemudian hadiahkan ganjaran kecil kepada diri sendiri mengikut kemampuan pada hujung tahun.
  • Gunakan pengangkutan awam, ataupun tukar kepada kenderaan yang lebih berekonomi.
  • Elak melancong secara mewah ke luar negara. Jika anda ingin bercuti, ‘staycation’ merupakan alternatif yang popular, atau melancong dalam negeri sahaja. Pilih untuk menginap di hotel butik yang kecil dan ‘Instagramable’ daripada memilih hotel 5-bintang.
  • Sekiranya menyewa, berpindah ke rumah sewa yang lebih kecil dan murah boleh membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan. Kita juga boleh menjana pendapatan tambahan dengan menjual perabot ataupun barang yang tidak terpakai untuk rumah baharu.
  • Laraskan atau sediakan bajet untuk membantu anda menguruskan perbelanjaan bulanan dengan lebih baik.
Makan sedap di Natrabu Xpress Putrajaya

Pertimbangkan sumber pendapatan dan pelaburan yang lain

Mempunyai pekerjaan kedua adalah lumrah bagi mereka yang merasakan pendapatan mereka tidak mencukupi. Semasa kemelesetan ekonomi, kebanyakan perniagaan akan memilih untuk mengupah pekerja sambilan, dan ini adalah sesuatu yang boleh dimanfaatkan.

  • Jika mempunyai masa, carilah pekerjaan sambilan, jadi pekerja bebas, ataupun cari pekerjaan lain untuk menambah pendapatan anda.
  • Cari peluang untuk menjana pendapatan menggunakan bakat atau hobi anda. Jika boleh melukis, jualkan hasil seni. Boleh membuat kek yang sedap? Cuba ambil pesanan dan jual kek kepada ahli keluarga, kawan-kawan dan jiran. Boleh gunakan platform online untuk mula menjual.
  • Ada bilik kosong? Boleh cuba sewakan bilik tersebut.
  • Jika seorang pelabur saham, simpan portfolio pelaburan yang pelbagai. Sesetengah perniagaan menjadi muflis sewaktu kemelesetan, manakala perniagaan yang lain pula akan berkembang.
  • Jika mempunyai lebihan simpanan, laburkan dalam aset yang berharga, seperti tanah, rumah, atau emas.

Mulakan perancangan kewangan dengan membina tabung kecemasan. Membina tabung kecemasan merupakan cara yang paling selamat untuk mengharungi krisis ekonomi tahun 2023 yang mendatang. Tabung kecemasan amat penting dalam menyediakan jaringan keselamatan dan memberi anda masa yang mencukupi untuk kita bangkit semula dalam situasi yang menduga. 

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge