Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad meminta orang ramai melaporkan kepada pejabat agama negeri masing-masing sekiranya terdapat perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum apabila menunaikan solat.
Ia susulan video tular baru-baru ini, khususnya di aplikasi TikTok yang memaparkan tindakan individu, rata-rata berstatus bujang berlakon menunaikan solat dengan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam.
Perbuatan sedemikian yang menjadi ikutan anak muda dan remaja, tidak sepatutnya berlaku.
“Janganlah ambil ilmu yang ditiru dari Youtube dan mana-mana sumber yang tidak diketahui. Jadi, perkara yang mengarut dan pelik ini, laporkan kepada pejabat agama supaya boleh diambil tindakan,” katanya.
Generasi muda dinasihatkan agar dapatkan ilmu agama dengan mencari guru yang boleh mengajar dengan betul seperti melalui kuliah di masjid, surau dan sebagainya.
Perbuatan menjadikan kipas sebagai makmum atau imam ketika menunaikan solat jelas menunjukkan pelaku jahil dalam agama selain sengaja mempersendakan Islam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, perbuatan itu juga satu penghinaan terhadap agama Islam dan perlu diadili di mahkamah syariah.
Menurutnya, mempersendakan Islam jelas berdosa besar dan boleh merosakkan akidah seseorang itu.
“Rasanya isu ini tidak perlu komen banyak, sudah jelas pelakunya sama ada jahil atau tidak siuman. Jika pelaku berniat untuk mempersenda ibadat, maka dia dikira murtad dan wajib bertaubat.
“Masyarakat perlu sedar bahawa perbuatan mempersendakan atau memperolok-olokkan ibadat adalah berdosa dan boleh merosakkan akidah keimanan seorang Muslim,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Wan Salim berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat sama pelaku adalah seorang yang siuman, mengalami masalah mental atau sebaliknya.
“Saya harap pihak berkuasa segera menyiasat dan bertindak selaras dengan hasil siasatan.
“Jika pelaku didapati sengaja mempersendakan agama atau ibadah, maka dia perlu diadili di mahkamah syariah dan dihukum mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.
Mengenai kegiatan menggunakan imej agama dan gelaran ustaz untuk memperdaya masyarakat dengan tawaran ibadat atau produk untuk kepentingan peribadi, Idris yang juga naib presiden PAS menyifatkan ia sebagai perbuatan zalim.
“Janganlah ambil kesempatan buat perkara begini, terutama soal ibadat kerana ia menzalimi orang-orang yang terkena dengan perbuatan mereka. Pihak yang terkena diharap membuat laporan polis supaya dapat diambil tindakan terhadap mereka yang terlibat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin Al-Ghari, berkata antara penipuan itu termasuk kempen derma, wakaf dan pakej umrah yang menggunakan pelbagai tarikan.
Antara tawaran bagi menarik pengguna termasuk kononnya penginapan disediakan mereka di Tanah Suci adalah termurah tetapi terletak berdekatan Masjidil Haram.