Tandas Kencing Berdiri

Kebanyakan tandas di pusat membeli belah direka secara corak yang sama hingga orang lelaki yang mahu melepaskan hajat membuang air kecil akan melakukannya secara berdiri. Apakah hukum kencing berdiri yang sebahagian lelaki mengambil remeh isu terutama melibatkan bab istinjak ini.

Ia bagai sudah menjadi satu kebiasaan kerana tabiat ini dilakukan dari kecil lagi.

Namun Islam itu agama yang sangat indah. Mengatur kehidupan umatnya untuk menuju ke arah kesempurnaan. Salah satu aspek yang amat dititik beratkan dalam agama ialah soal kebersihan terutama ketika bersolat.

Tandas awam

Isu ini telahpun dibincangkan oleh para ulama sejak sekian lama. Mereka terbahagi kepada dua pandangan sama ada yang melarang ataupun yang membolehkannya. Berikut merupakan dalil- dalil yang berkaitan dengan isu kencing berdiri.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:-

مَنْ حَدَّثَكُمْ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَبُولُ قَائِمًا فَلاَ تُصَدِّقُوهُ مَا كَانَ يَبُولُ إِلاَّ قَاعِدًا

Maksudnya: Sesiapa yang bercerita kepada kalian semua bahawasanya Rasulullah S.A.W itu kencing berdiri maka janganlah kalian mempercayainya. Tidaklah Rasulullah S.A.W itu kencing melainkan dalam keadaan duduk. – Riwayat al-Tirmizi

Juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah Ibn al-Yaman R.A beliau berkata:-

أَتَى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم سُبَاطَةَ قَوْمٍ فَبَالَ قَائِمًا ثُمَّ دَعَا بِمَاءٍ فَجِئْتُهُ بِمَاءٍ فَتَوَضَّأ

Maksudnya: Nabi S.A.W mendatangi tempat buangan sampah sebuah kaum, kemudian baginda kencing secara berdiri. Kemudian baginda meminta air lalu aku membawanya dan baginda pun berwudhuk. – Riwayat al-Bukhari

Antara Kencing Berdiri dan Duduk (cangkung)

Kedua-dua hadis di atas dilihat seakan-akan saling bercanggahan di antara satu sama lain. Akan tetapi, disebutkan di sini berkenaan cara untuk mengharmonikan di antara kedua-dua dalil tersebut adalah dengan mengatakan: Dibolehkan kencing secara berdiri berdasarkan hadis Huzaifah, manakala yang lebih afdhal adalah kencing secara duduk kerana itulah yang paling kerap dilakukan oleh Rasulullah S.A.W bahkan inilah sunnah baginda sendiri.

Kata Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: Yang zahirnya baginda melakukannya (kencing secara berdiri) adalah untuk menjelaskan akan keharusannya dan dalam banyak keadaan baginda membuang air kecil secara duduk. Lihat Fath al-Bari Syarah Sahih al-Bukhari, Ibn Hajar (1/330).

Baca juga : Hukum Makan Sushi, Sashimi, Daging atau Ikan Mentah

Hukum Kencing Berdiri

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa membuang air kecil secara duduk adalah lebih baik dan afdhal sebagaimana mengikuti petunjuk Nabi SAW. Namun, hukum kencing berdiri adalah makruh tanzih jika tanpa sebarang keperluan dan tidak mengapa jika ada keuzuran seperti tiada tempat yang sesuai atau bersih untuk duduk bagi menyelesaikan hajat itu.

Selain itu, kencing secara duduk juga adalah lebih menepati kehendak syarak dalam aspek penjagaan kebersihan sebagaimana yang telah disebutkan. Para ulama yang mengharuskan perbuatan kencing berdiri turut menyebutkan beberapa perkara seperti berikut:

  • Hendaklah ia dilakukan di tempat yang sembunyi dari penglihatan manusia lainnya supaya auratnya terpelihara.
  • Hendaklah berhati-hati supaya air kecil tidak terpercik ke pakaian.

Wallahu A’lam. –MuftiWP

Leave a Reply

Your email address will not be published.

CommentLuv badge